
104 ventilator rosak: Tiada siapa boleh dipertanggungjawabkan
Tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan di atas 104 ventilator rosak yang diperoleh untuk pesakit Covid-19, dedah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Ini kerana ketiadaan perjanjian bertulis di antara Kementerian Kesihatan dan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd.
“Ketiadaan perjanjian bertulis di antara Kementerian Kesihatan dan PLSB bermakna tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk berdepan tindakan undang-undang dalam kes 104 unit ventilator yang tidak berfungsi.
“Hingga kini, ketidakpastian peranan PLSB di dalam isu ini menyebabkan tindakan undang-undang tidak boleh dilaksanakan,” kata PAC di dalam laporannya.
Laporan tersebut berkaitan pandemik Covid – 19, khususnya vaksin tamat tempoh, ventilator yang tidak digunakan dan peralathan perlindungan diri (PPE) di bawah Kementerian Kesihatan.
Kerosakan ventilator telah dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 di bawah Aktiviti Kementerian Jabatan dan Badan Statutori Kerajaan Persekutuan.