11,000 isi rumah Selangor dapat Bakul Rahmah

Inisiatif Bakul Rahmah peringkat negeri Selangor dijangka memanfaatkan seramai 11,000 ketua isi rumah membabitkan 22 kawasan Parlimen di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata untuk permulaan, bantuan tersebut diagih ke empat Parlimen iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Gombak.

“Menerusi program Payung Rahmah, kita sasar 500 penerima setiap Parlimen di Selangor menerima manfaat Bakul Rahmah dalam usaha kita meringankan beban orang ramai terutama pada bulan Ramadan.

“Agihan bantuan secara sekali beri ditentukan Ahli Parlimen dan wakil rakyat yang mempunyai senarai layak,” katanya memetik laporan Selangorkini.

Dalam pada itu, Amiruddin turut menyentuh mengenai keberkesanan program Payung Rahmah yang merupakan sebahagian usaha Kerajaan Perpaduan menyemai rahmah dan kasih sayang dalam komuniti masyarakat.

Menurutnya, meskipun program itu pernah ditertawakan di peringkat awal, namun kini mendapat sambutan baik pelbagai pihak khususnya Menu Rahmah.

“Sebelum ini kita dengar Menu Rahmah dan Jualan Rahmah ditertawakan, sinikal serta ada yang kata sekadar populis, tidak menyebar kepada masyarakat. Kini, apa yang diusulkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan mendapat sambutan baik.

“Ada juga yang ingin mengatakan usaha ini menekan peniaga khususnya Bumiputera, namun kini syarikat konglomerat besar, rangkaian restoran antarabangsa memperkenal inisiatif tersebut kepada masyarakat,” katanya lagi.

Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan seramai 37,373 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara bakal menerima bantuan keperluan asas menerusi inisiatif Bakul Rahmah.

Salahuddin berkata, usaha di bawah program Payung Rahmah bernilai RM100 menyasar golongan B10, iaitu miskin tegar berpendapatan kurang RM2,500.

Jelasnya lagi, inisiatif tersebut melibatkan kerjasama rakan strategik, pasar raya, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

BACA JUGA Prestasi dan keupayaan Pakatan Harapan di Selangor, kekal jadi kubu kuat