
1,186 parkir tambahan di Hospital Pulau Pinang – Dr Zaliha
Sebanyak 1,186 parkir tambahan akan disediakan di Hospital Pulau Pinang bagi menangani isu kekurangan tempat letak kereta di hospital tersebut.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, parkir tambahan yang disediakan sebagai tambahan kepada kemudahan semasa iaitu ‘multilevel car park’ yang ketika ini masih belum digunakan sepenuhnya.
“Parkir tambahan ini adalah sebahagian daripada skop projek pembinaan di blok wanita dan kanak-kanak serta blok klinik pakar dan wad hospital Pulau Pinang.
“Dalam hal ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta kerjasama daripada Ahli Parlimen Bagan untuk galakkan orang awam yang mendapatkan perkhidmatan di hospital Pulau Pinang supaya menggunakan kemudahan tempat letak kereta yang disediakan,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, KKM turut mengalu-alukan cadangan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse dan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor berhubung saranan pembinaan parkir bertingkat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Sementara itu Dr Zaliha berkata, RM500 juta telah diberikan untuk menambah baik sistem parkir di Hospital Sultanah Aminah.
BACA JUGA Ulama Pas dakwa ‘lemah iman’ pihak yang batalkan ceramah isterinya