20 NGO serah memorandum bantah bakar al-Quran

Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyertai penyerahan memorandum bagi membantah tindakan seorang ahli politik ekstrem sayap kanan Denmark-Sweden, yang membakar al-Quran pada 21 Januari lalu.

Penyerahan memorandum ini diketuai Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid bersama Penasihat Umum AMANAH, Datuk Ahmad Awang.

Cikgu Azmi dan Ustaz Ahmad Awang (belakang) serah memorandum di Kedutaan Sweden. Foto: Ghifari

Setakat jam 10.45 pagi tadi, kedua-dua tokoh pemimpin berkenaan sudah memasuki Kedutaan Sweden bagi menyerahkan memorandum bantahan. Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan turut serta dalam bantahan ini.

“Semalam kami terima e-mel dari kedutaan memaklumkan akan menerima surat bantahan kami

“Saya akan meminta untuk berjumpa dengan wakil duta Sweden,” katanya yang juga dikenali sebagai Cikgu Azmi kepada pemberita.

Ketika sesi penyerahan memorandum kepada Timbalan Kedutaan Sweden di Malaysia, Cikgu Azmi menyerahkan senaskah al-Quran dengan terjemahan bahasa Inggeris sebagai simbolik bantahan.

“Al-Quran ini kami serahkan untuk mereka baca dan fahami. Kami Islam tak pernah dibolehkan untuk hina sepatah pun pada agama lain.

“Itu larangan besar pada Islam sebab itu kami tak buat tindak balas secara ganas. Kita menyatakan sikap sahaja kepada mereka,” kata cikgu Azmi kepada media sejurus selepas menyerahkan memorandum pada Kedutaan Sweden.

Dalam memorandum tersebut, NGO-NGO menuntut lima perkara kepada kerajaan Sweden iaitu:
a) mengamalkan dasar menghormati semua kepercayaan dan melindungi semua anutan agama di Sweden.
b) pelaku mesti bertanggungjawab terhadap keganasan yang dicetuskan dari kempen kebencian terhadap Islam.
c) mengecam perbuatan keji membakar al-Quran dan menangkap pihak yang berniat mengulangi perbuatan keji yang serupa.
d) membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam atas kebiadapan terhadap kitab suci al-Quran.
e) hentikan kempen Islamophobia di Sweden dan anjurkan dialog untuk mewujudkan keamanan bersama.

Pada 21 Januari, ahli politik pelampau Sweden, Rasmus Paludan dari parti Stram Kurs menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Bantahan terhadap Turkiye kerana presiden Turkiye, Erdogan menghalang permohonan Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Paludan telah membakar kitab suci al-Quran ketika protes bantahan tersebut. Ini bukan kali pertama Paludan bertindak secara keterlaluan.

Dia juga pernah membakar al-Quran tahun lalu dalam satu lagi demonstrasi.