Menjelang 19 Disember: ‘Usul percaya terhadap Anwar akan lulus’

Ahli parlimen kerajaan yakin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memenangi usul percaya terhadap kerajaan perpaduan pimpinan beliau.

“Sudah pasti tiada masalah. Blok kerajaan terdiri daripada 149 kerusi dan kali ini tiada ahli boleh mengundi secara individu.

“Usul ini dibuat menghentikan tohmahan bahawa Anwar memimpin tanpa sokongan,” kata Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran.

Usul percaya kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilakukan pada 19 Disember.

Menurut sumber, perjanjian kerjasama dalam kalangan parti politik dalam blok kerajaan akan dimeterai pada 16 Disember.

Pakatan Harapan, BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menganggotai blok kerajaan.

Di atas kertas, sokongan kepada Anwar kelihatan padu kerana blok kerajaan terdiri mempunyai majoriti dua per tiga berbanding Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai 73 kerusi.

Yuneswaran yang juga merupakan ahli MPP PKR yakin bahawa Anwar akan memimpin negara hingga tamat tempoh penggal lima tahun.

Ini berbeza berbanding pentadbiran tiga perdana menteri terdahulu yang ­­hanya menerajui tampuk pemerintahan untuk tempoh kurang dari 23 bulan.

“Kesemua ahli parlimen kerajaan mempunyai motif yang sama,” kata beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr ­Hatta ­Ramli turut senada ­dengan Yuneswaran ­­berkenaaan­ usul percaya­­ dan jangka hayat kerajaan pimpinan ­Anwar.

“Mengikut kenyataan parti-parti politik, tiada masalah untuk capai majoriti mudah. Undi percaya akan­ lulus

“Sebelum ini ­kerajaan tumbang kerana wujud ­komplot untuk jatuhkan kerajaan. ­Masing-masing mahu merasakan kuasa. Ia tidak stabil.

“Dalam kerajaan sekarang, ia ditubuhkan dengan titah Yang di-Pertuan Agong. Semua yang menganggotai blok kerajaan wajib mempertahankannya,” kata Dr Hatta lagi.