Selepas kecundang PRU15, Presiden PBM sertai Muafakat Nasional

Selepas kecundang di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Muafakat Nasional (MN).

Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa, mengumumkan perkara tersebut semalam menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Terdahulu, beliau yang dipecat Umno mengucapkan terima kasih kepada Zuraida kerana berkunjung ke pejabatnya.

“Terima kasih Datuk Zuraida Kamaruddin kerana sudi bertandang ke pejabat saya.

“Terima kasih juga kerana menyertai Muafakat Nasional,” katanya.

Zuraida sebelum ini dilabel sebagai pengkhianat Pakatan Harapan (PH) ekoran Langkah Sheraton.

Dia dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta kumpulannya mengumumkan penyertaan mereka dalam Bersatu pada Ogos 2020.

Pada PRU15 lalu, kerusi di Parlimen Ampang yang disandang Zuraida sejak tiga penggal mulai 2008 itu dirampas calon PH dari PKR, Rodziah Ismail dengan majoriti 29,681 undi.

Sebelum ini, Annuar mendedahkan telah mendaftarkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama MN dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 19 September 2019.

Bekas Ketua Bahagian Umno Ketereh berkenaan turut menamakan dirinya sebagai Presiden MN.