Wan Azizah kongsi kisah pernah dicemuh masyarakat, dipanggil isteri banduan ketika berkempen, ‘tapi tak apa saya redha’

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan satu figura hebat yang selama ini setia berdiri di belakang suaminya, melihat naik turun perjuangan sang suami yang kini akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Di sebalik lambang kesetiaannya yang memberi inspirasi kepada wanita, Wan Azizah berkongsi pengalaman perit terpaksa hidup sendiri mengendalikan anak-anak yang kian membesar.

Beliau juga terpaksa berhadapan dengan cemuhan masyarakat ketika itu sehingga pernah digelar sebagai isteri banduan.

Mengakui berasa amat letih, tokoh cekal ini pernah terfikir untuk berhenti kerana dugaan dihadapinya seolah tidak berakhir.

Namun beliau terus bangkit melalui gerakan reformasi dan menjadi antara individu terpenting yang membantu menubuhkan partinya sekarang ini, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya banyak kali dipandang hina dan dipandang rendah sebab saya isteri banduan. Saya dicemuh apabila saya pergi berkempen.

“Tapi bagi saya tak apa lah…mereka tak kenal saya mungkin bila tak kenal saya maka tak cinta lah kan. Tak apalah, saya terima sahaja. Apa yang saya mahu hanyalah reda daripada Allah SWT.

“Redha Allah yang buat saya kuat. Saya boleh tahan apa pun, dibandingkan dengan kisah Nabi lagi banyak dikecam berbanding dengan saya ini sedikit sahaja.

“Kalau ini ujian Allah, saya terima. Allah nak uji, jadi saya redha. Alhamdulillah dan saya bersyukur. After all, lepas semua ini Allah bagi pada saya banyak juga.

“Kalau nak cemuh saya, cemuhlah sebab dunia ini ada pasang surut kerana dunia ini berputar,” kongsinya dalam wawancara Nona Superwoman 2022 baru-baru ini.

Dr Wan Azizah pernah mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).