Ungkit isu MoU Kerajaan Perpaduan hanya kacau rumah tangga orang

Tindakan para ahli Parlimen Pas dan Bersatu yang mempertikaikan memorandum persefahaman (MoU) antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan adalah tindakan tidak perlu dan hanya tindakan mengacau rumah tangga orang sahaja.

Peguam yang juga bekas Timbalan Menteri Undang-undang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, oleh kerana Pas dan Bersatu tidak terlibat dalam kontrak itu, tindakan mereka hanya busybody sahaja.

“PN seharusnya menghargai doktrin kesucian kontrak yang ditandatangani antara pihak- pihak yang berkontrak kerana dalam undang-undang kontrak adanya prinsip “a privity of contract” iaitu hanya pihak pihak yang berkontrak yang seharusnya “sibuk” mengenai kontrak yang depa tandatangani.

“Sedangkan PN bukanlah pihak dalam MoU tersebut,” kata beliau.

Katanya, selagi mana-mana pihak yang berkontrak itu ada “consensus ad idem” atau kesepakatan minda, ketika depa berkontrak, pihak di luar kontrak seperti PN sewajarnya tidak perlu menyibuk apa lagi membuat laporan polis.

“Lagipun MoU itu selaras dengan usaha memperkukuhkan kestabilan Kerajaan Perpaduan sekaligus kestabilan politik iaitu seiring dengan semangat titah YDPA dan Majlis Raja-Raja bagi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini, para ahli Parlimen PN menyerang ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah Kerajaan Perpaduan.

Ekoran itu berlaku pertengkaran hangat dalam Dewan Rakyat di antara penyokong kerajaan dengan pembangkang.

Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, PBM, KDM dan ahli parlimen bebas menandatangani MoU pada 16 Disember 2022.

 

BACA JUGA Datuk Johari Abdul: Dari reformis ke Speaker Dewan Rakyat

JUGA Pas akui ditawarkan untuk sertai Kerajaan Perpaduan tetapi menolaknya