Anwar kotakan janji tangani kos sara hidup, kerajaan jimat RM2 juta setahun dari penolakan gaji menteri Kabinet

Walaupun tidak sampai sebulan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bahawa kerajaan pimpinannya telah berjaya mengotakan beberapa janji untuk menangani isu kos sara hidup rakyat.

Menurutnya beliau sendiri mengambil keputusan untuk tidak menerima gaji sebagai Perdana Menteri bagi menyelami nasib rakyat susah.

Anggota Jemaah Menteri juga telah membuat komitmen untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus sehingga kedudukan ekonomi negara kembali kukuh.

Kata Anwar, tindakan ini bertitik tolak daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai suri teladan kerana enggan menerima gaji Baginda semasa negara dilanda Covid-19.

“Melalui penjimatan ini, kita dapat menjimatkan sekitar RM2 juta setahun,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat pagi ini.

Selain itu Anwar berkata, beliau telah beberapa kali mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi memastikan kaedah terbaik dicapai supaya rakyat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga barang dan bekalan makanan yang mencukupi.

Contohnya sebagai permulaan bagi mengatasi kekurangan bekalan telur dalam pasaran, kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan pengimportan telur.

Kemasukan pertama adalah pada 15 Disember lalu melibatkan sehingga 100,000 biji telur dan mulai 22 Disember, pengimportan antara 2 hingga 10 juta biji telur sehari akan dilaksanakan sehingga bekalan menjadi stabil.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik dan para pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti restoran, bengkel kecil, kedai runcit, petani dan pekebun.

“Berdasarkan rangka kawal selia industri elektrik, kenaikan kos bahan api sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna melalui kenaikan tarif elektrik.

“Jemaah Menteri bagaimanapun telah membuat keputusan supaya tarif bagi semua pengguna isi rumah domestik dan perniagaan PKS tidak akan dikenakan sebarang kenaikan tarif menjelang 1 Januari 2023,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu menambah, hanya syarikat besar dikenakan kenaikan dan dengan itu kerajaan akan menanggung subsidi lebih 10 bilion ringgit bagi tempoh 6 bulan pertama.

Ini katanya selaras dengan pendekatan pentadbiran Kerajaan Perpaduan untuk melindungi rakyat biasa dan perniagaan PMKS.

“Bagi beberapa bulan mendatang, Kerajaan Perpaduan akan terus menumpukan kepada usaha mencari penyelesaian terbaik dalam mendepani permasalahan kos sara hidup serta menumpukan kepada pengagihan subsidi yang lebih bersasar,” katanya lagi.