Usul undi percaya penting kembalikan keyakinan pelabur
Usul undi percaya amat penting untuk untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing ke negara ini.
Hal itu dibangkitkan dalam ucapan perbahasan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN – Titiwangsa) menyokong usul undi percaya ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat sesi petang tadi.
Katanya, dengan melaksanakan undi percaya ianya akan mewujudkan kerajaan yang stabil untuk lima tahun akan datang dan peristiwa menukar kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh empat tahun setengah sebagaimana pada 2018 hingga 2022 tidak akan berlaku.
“Penting undi percaya dalam konteks kita bangunkan negara. Sudah tentu mana-mana negara yang nak dibangunkan (keutamaan) ialah kestabilan politik.
“Kalau kita lihat kestabilan politik ini adalah ramuan sangat penting mana-mana negara untuk bangunkan ekonomi,” katanya.
Johari membariskan tiga perkara yang wajib diutamakan untuk penggal politik selama lima tahun akan datang bagi menentukan kejayaan kerajaan memerintah negara.
“Tiga perkara sangat penting untuk kestabilan politik, iaitu pertama dalam penggal lima tahun ini kita perlu ada kestabilan politik.
“Kedua, kita mesti mempunyai satu pasukan yang mempunyai pengalaman dan kompeten untuk menerajui kerajaan.
“Ketiga, kita tidak boleh lari daripada mempunyai pasukan yang mempunyai kredibiliti dan integriti dalam menerajui negara,” katanya.
Beliau dalam masa sama menekankan bahawa Malaysia sudah ketinggalan sejak empat tahun lalu di belakang beberapa negara ASEAN yang pernah didahuluinya sejak berdekad-dekad.
Katanya, sejak 2018 sehingga 2021 pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)negara tumbuh – 0.1% berbanding empat negara ASEAN utama.
“Saya ambil contoh Indonesia. Pada 2018 hingga 2021, KDNK mereka berkembang 11.8%, Vietnam berkembang 24%, Thailand 9.7%, Filipina 19%. Semua positif tetapi Malaysia tidak.
“Kita kena melihat semula cara berpolitik. Kalau kita berterusan, soal PM (silih berganti), soal isu yang tidak melihat isu rakyat maka akhirnya empat tahun setengah itu (sebelum ini) kita (hanya) membazir masa,” katanya lagi.
Justeru, beliau mengucapkan syabas kepada keberanian Anwar Ibrahim mengadakan usul undi percaya terhadapnya biarpun pada kebiasaannya tidak diperlukan kerana telah pun dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.