Kerajaan Perpaduan dituduh luar tabii, Menteri masuk Pusat Tarbiah boleh pula

AMANAH Kelantan tidak ada masalah dengan tindakan Menteri Agama menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di dalam Pusat Tarbiyah Pas di Pasir Mas, Kelantan semalam.

Namun Pengerusinya Khalid Abd Samad berkata, beliau hairan dengan sikap Pas sendiri dalam perkara ini.

“Pemimpin Pas membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan kepada Kerajaan Perpaduan tetapi dalam masa yang sama membenarkan menterinya masuk ke pusat tarbiyah mereka untuk memberikan bantuan.

“Apa yang mereka tak kata kepada Kerajaan Perpaduan, kerajaan luar tabii lah, kerajaan yang tidak mengikut petunjuk Allah dan haramlah.

“Tetapi bila menteri Kerajaan Perpaduan datang nak bagi sumbangan kepada mangsa banjir, boleh pula masuk pusat tarbiyah mereka,” kata Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH.

Khalid merujuk kepada isu yang tular di media sosial dan dilaporkan oleh Harapandaily hari ini tentang kekesalan penyokong AMANAH di Kelantan ekoran tindakan Menteri Agama Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di dalam Pusat Perpindahan Sementara yang terletak dalam Pusat Tarbiyah Pas Pohon Buluh, Pasir Mas.

Bagi mereka, banyak lagi PPS yang terletak di kawasan bebas dan tidak di bawah parti politik seperti di sekolah dan dewan orang ramai.

“Saya boleh terima menteri agama masuk ke situ khasnya dalam konteks dakwah tetapi saya tak faham sikap Pas,” kata Khalid.

PENGERUSI AMANAH

Khalid dilantik sebagai Pengerusi baharu AMANAH Kelantan baru-baru ini.

Khalid telah dilantik oleh pimpinan AMANAH Pusat baru-baru ini sebagai Pengerusi AMANAH Kelantan yang baharu.

Beliau dilantik bagi menguruskan AMANAH Kelantan buat sementara bagi menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya dilantik untuk sementara sahaja bagi mempersiapkan AMANAH Kelantan berdepan dengan PRN nanti.

“Jadi buat sementara dan untuk tugasan khas sahaja,” kata Khalid kepada Harapandaily.

Kelantan antara enam buah negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri ketika PRU-15 lalu dengan alasan pilihan raya itu diadakan pada musim banjir.

PRN untuk enam negeri iaitu Terengganu, Kedah dan Kelantan (di bawah Pas) serta Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang (dibawah Pakatan Harapan) dijangka akan diadakan tidak lama lagi, iaitu sebaik sahaja musim tengkujuh selesai.

 

BACA JUGA Menteri Agama sampaikan bantuan banjir di pusat tarbiyah Pas dikritik