Covid-19 dari China: KKM dijangka kuatkuasakan peraturan baharu

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka akan mengeluarkan peraturan baharu tentang kemasukan ke negara ini ekoran peningkatan kes Covid-19 yang dikesan dari pelancong negara China.

Menurut sumber, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dijangka akan mengeluarkan kenyataan hari ini bagi mengumumkan peraturan itu.

Pihak berkuasa kesihatan Itali kini memulakan ujian saringan Covid-19 terhadap semua pelancong yang tiba dari China.

Ia dilakukan selepas hampir separuh daripada penumpang dua pesawat dari China yang mendarat di Milan, didapati positif wabak tersebut.

Kementerian Kesihatan negara itu turut dilapor melakukan ujian penjujukan untuk mengesan sama ada terdapat varian baharu.

Sekiranya varian baharu dikesan, pihak berkuasa mungkin akan mengenakan sekatan yang lebih ketat ke atas pelancong dari negara berkenaan.

Dalam mesyuarat kabinet semalam, kerajaan Itali memperincikan jumlah penumpang di Milan yang dijangkiti, seterusnya membincangkan mengenai perkara tersebut.

Kebanyakan penumpang yang positif tidak menunjukkan sebarang simptom, namun media tempatan melaporkan, pengamal kesihatan bimbang mengenai varian baharu Covid-19 yang muncul di China.

7 Disember lalu, China mengumumkan pelonggaran sekatan Covid-19 di seluruh negara, susulan gelombang protes meluas yang menentang peraturan ketat penularan wabak di republik itu.

Di bawah peraturan baharu itu, pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala ringan dan tanpa simptom, kini dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Â