CyberSecurity & JPDP akan siasat kebocoran data peribadi melibatkan 3 agensi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akan meminta penyiasatan dijalankan oleh pihak CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi tentang kesahihan kes kebocoran data peribadi yang melibatkan dua syarikat dan satu agensi kerajaan.
Ia akan diikuti oleh tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Ketiga-tiga entiti berkenaan ialah Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ini satu dakwaan yang serius, melibatkan jumlah data yang banyak. Saya akan minta CyberSecurity Malaysia, JPDP siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak – pihak berkenaan serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” ciap Fahmi.
Beliau berkata demikian ketika membalas ciapan pengguna Twitter, Pendakwah Teknologi. Pengguna Twitter tersebut kebocoran data dari dua syarikat dan satu agensi kerajaan melibatkan data peribadi 13 juta pengguna.
Ini bukan kali pertama perkara seumpama ini berlaku.
Dalam bulan Mei tahun ini, data peribadi rakyat Malaysia yang berusia di antara 18 hingga 82 tahun dari pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara dilaporkan telah dijual pada harga USD10,000.
Pada awal bulan ini, kebocoran data peribadi dari pangkalan data syarikat penerbangan murah AirAsia telah disiasat oleh CyberSecurity dan JPDP.