PM menghadap Sultan Johor, rasmi masjid dalam lawatan kerja singkat

Lawatan kerja singkat Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Johor hari ini berakhir dengan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi.

Pada sebelah pagi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap PM di Istana Bukit Serene di Johor Bahru setelah ketibaan beliau di Senai Business Aviation Terminal pada 9.55 pagi dan disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Anwar tiba di istana kira-kira 10.30 pagi dan PM selesai sembah menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada jam 11.55 pagi.

Dalam sessi tersebut, Anwar telah memberikan penjelasan terkait soal pembangunan negara serta Johor.

Beliau turut mendoakan agar Sultan Johor dan seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayahNya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

Datuk Seri Anwar merasmikan Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi.

Anwar kemudian meluangkan masa kira-kira 25 minit bertemu rakyat dan menjamu selera di sebuah medan selera di Kampung Melayu Majidee sebelum berjalan ke masjid diiringi rakyat jelata.

Anwar diberi penghormatan untuk merasmikan Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi dengan menandatangani plak perasmian.

Semasa majlis perasmian ini, Anwar ditemani Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran.

PM kemudian kembali ke ibu negara selepas selesai program tersebut.