ANALISIS: PRN bakal jadi cabaran utama politik Malaysia 2023

Tahun 2022 bakal melabuhkan tirai. Fajar baru 2023 di ufuk. Tahun baru ini penuh dengan cabaran. Umum mengetahui perihal cabaran ekonomi dunia. Selain itu, cabaran terbesar dalam negara ialah cabaran politik iaitu pilihan raya negeri (PRN).

PRN melibatkan enam buah negeri di Semenanjung Malaysia bakal diadakan. Enam buah negeri tersebut ialah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Kita belum mengetahui dua perkara berkenaan PRN ini tetapi PRN ini sangat penting dalam perkembangan siasah negara ini.

Pertama, bila PRN akan diadakan? Ia boleh diadakan dalam suku pertama 2023, seawal bulan Mac atau dalam suku kedua 2023 – bulan Jun.

Kedua, adakah PRN akan dilangsungkan bersekali atau pada tarikh berlainan?

Setakat ini, hujah yang terpampang di dada akhbar memberikan petanda bahawa kos mengadakan PRN bersekali ialah lebih murah berbanding dengan PRN secara berasingan sepertimana yang disaksikan di dalam PRN Melaka dan Johor dalam tahun 2021.

PRN membabitkan enam buah negeri adalah penting untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pakatan pembangkang Perikatan Nasional dan rakyat.

PRN ini akan memeterai kerjasama politik Barisan Nasional, khususnya Umno, dengan Pakatan Harapan di peringkat negeri.

Maka undi di negeri – negeri tersebut akan menjadi petanda penerimaan rakyat terhadap kerjasama politik yang bermula di peringkat persekutuan. Ia juga boleh dijadikan alat penanda aras penerimaan kerjasama di dalam parti di peringkat negeri, bahagian dan akar umbi.

Di dalam PRU 15, Pakatan Harapan menerima jumlah undi yang kurang daripada masyarakat Melayu berbanding masyarakat India dan Cina. Kebanyakan undi ketika itu diraih oleh Perikatan Nasional. Adakah masyarakat Melayu akan meningkatkan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan?

Untuk Umno yang mempunyai 27 kerusi, selain rakan dalam BN (3), ada persoalan di benak mereka. Adakah pengundi sudah memaafkan mereka untuk kembali menyokong mereka?

Persoalan samada gelombang hijau yang diwar-warkan oleh PAS dan Perikatan Nasional merupakan gelombang atau gelembung bakal terlihat di dalam sesi PRN ini.

Kerjasama PH dan BN akan melalui ujian kertas litmus politik di dalam PRN. Kerjasama antara Umno dengan parti politik di dalam Pakatan Harapan adalah jelas. Walau bagaimanapun, sehingga kini semangat yang ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Umno tidak dapat dilihat dalam kalangan rakan komponen – MCA dan MIC.

Kerjasama PH-BN memberikan dua pilihan jelas buat pengundi. PH atau PN? Kebenaran atau kebatilan? Rakyat sudahpun melihat bagaimana Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjaja kebatilan semasa berucap di parlimen tempoh hari.

Dari sudut kemenangan, ramai penganalisa menganggap rakyat akan mengekalkan status quo di mana rakyat akan mengundi PH di negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Kelantan, Kedah dan Terengganu kekal di tangan PN.

Mana-mana pakatan politik yang menang empat dari sejumlah enam kerusi akan dianggap pemenang keseluruhan PRN ini.

Satu lagi ciri yang menarik dalam siri PRN ini ialah parti setahun jagung Bersatu yang mengetuai PN tidak mempunyai Menteri Besar atau Ketua Menteri di mana-mana negeri di mana PRN berlaku kali ini.

Untuk rakyat pula, inilah waktu paling sesuai untuk menilai kepimpinan negeri anda.

Jika anda pengundi negeri jelapang padi umpamanya, anda boleh menggunakan kuasa undi anda untuk menghukum Sanusi kerana keceluparan politik Sanusi yang seringkali mewujudkan hubungan dingin di antara Kedah dan Pulau Pinang.