Anwar miliki kekuatan mental yang kental, kata penganalisis

Tanggal 24 November 2022, menoktahkan penantian selama 24 tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bergelar Perdana Menteri Malaysia Ke-10 selepas acara angkat sumpah jawatan dilakukan di Istana Negara.

Umum mengetahui sebelum beliau diangkat untuk mengisi jawatan nombor satu negara, liku-liku politik anak kelahiran Kampung Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu sememangnya dipenuhi rencam cabaran.

Jatuh bangun beliau dalam pentas politik tanah air membuatkan sosok tubuh insan berusia 75 tahun itu, dikenali di negara sendiri dan juga di peringkat antarabangsa.

Dr Mazlan Ali, pensyarah kanan UTM mengulas mengenai Anwar Ibrahim.

Malaysia Dateline hari ini berpeluang menemu bual secara eksklusif dengan penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali yang mempunyai pandangan dan pengalamannya tersendiri mengenai tokoh politik berkenaan.

Menerusi pemerhatiannya, Dr Mazlan berpendapat, Anwar merupakan individu yang memiliki kekuatan mental yang sangat kuat.

“Perjuangan beliau sangat kuat dan orang yang tahan dengan ujian. Kita juga tahu sejarah Anwar sewaktu dia menjadi pelajar dahulu.

“Beliau memang orang yang konsisten dalam membantu golongan marhaen dan pernah mengetuai demonstrasi di Baling, Kedah.

“Apabila beliau diangkat menjadi Perdana Menteri, hanya dalam tempoh dua hari, puluhan negara sudah menghantar surat pengiktirafan kepada beliau,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pentadbiran Perdana Menteri Ke-10 itu.

Sultan Brunei memandu sendiri kereta yang membawa beliau dan Anwar ke Putrajaya.

Tambah Dr Mazlan lagi, imej yang dibawa Anwar sehingga dikenali di pentas dunia, secara tidak langsung turut membantu negara daripada sudut ekonomi.

“Kita lihat beberapa pemimpin dunia termasuk Erdogan (Presiden Turkiye) sendiri, telah menyatakan komitmennya kepada negara kita dan mungkin akan membawa pelaburan.

“Sultan Brunei juga ketika datang ke Malaysia menyatakan komitmen untuk pelaburan. Ini sebenarnya imej beliau di peringkat antarabangsa, secara tidak langsung membantu negara kita daripada sudut tukaran asing dan keyakinan pelabur,” ujarnya lagi.