Mengapa Malaysia memerlukan Anwar Ibrahim?
Hakikatnya Malaysia di dalam 2023 memerlukan setiap dari kita untuk menggembleng tenaga dan berusaha sedaya upaya kita untuk mengharungi pancaroba ekonomi yang akan tiba tidak lama lagi. Kita sedang mengharungi bencana banjir yang bermula selaras dengan musim tengkujuh 2022.
Dalam keadaan ini, kerjasama semua pihak diperlukan. Sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempraktikkan perkara ini. Ini jelas diperlihatkan oleh beliau ketika menyantuni mangsa banjir di negeri Cik Siti Wan Kembang.
“Tugas saya adalah cuba mentadbir negara dengan sebaik mungkin. Soal pilihanraya itu, rakyat pilih keputusan mereka. Ada yang saya setuju, ada yang saya tak setuju tapi itu tidak penting kerana akhirnya rakyat buat keputusan. Tanggungjawab saya setelah diberi amanah ialah untuk mengurus dengan baik tanpa mengira negeri yang terlibat,” kata beliau.
Anwar turut mengundang Menteri Besar Kelantan Dato’ Ahmad Yakob ke Putrajaya untuk membincangkan perkara-perkara yang menjejaskan kepentingan rakyat. Ini kerana kepentingan rakyat adalah kepentingan bersama kesemua kita.
Dari sudut bidangkuasa, menteri besar dan ketua menteri merupakan ketua kerajaan negeri nombor satu di sesebuah negeri berdasarkan perlembagaan negeri. Perlembagaan persekutuan turut menyenaraikan bidangkuasa negeri dan bidangkuasa bersama melibatkan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Justeru itu, kerjasama di antara kepimpinan peringkat pusat dan negeri sangat penting.
Jika dibandingkan dengan perdana menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Yassin, kerjasama di antara kerajaan pusat dan negeri tidak diendahkan meskipun beliau sendiri pernah menjadi Menteri Besar Johor.
Dalam tahun 2020, mesyuarat khas penyelarasan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri yang membabitkan menteri besar dan ketua menteri denganMahiaddin pada 17 Mac 2020 dan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dalam bulan Oktober berlangsung tanpa kehadiran menteri besar yang berasal dari kalangan pimpinan Pakatan Harapan.
Dalam kejadian pertama yang berlaku dalam bulan Mac, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali memohon maaf dan mengambil tanggungjawab untuk perkara tersebut. Tiada permohonan maaf sebegitu untuk kejadian sebegitu.
Bagaimana mungkin penyelarasan tugas antara pusat dan negeri boleh dijalankan tanpa kerjasama kedua-dua pihak?
Kejadian semasa pentadbiran Mahiaddin memperlihatkan semangat asabiyah politik mengatasi semangat kesatuan ummah Malaysia.
Bencana banjir sudah kita hadapi. Cabaran ekonomi akan mendatang. Kesemua ini harus kita harungi bersama dan inilah yang dilakukan oleh perdana menteri Malaysia
Inilah bukti mengapa Malaysia memerlukan insan bernama Anwar Ibrahim untuk memimpinnya.
Â