Pakatan Harapan boleh tawan Kedah kembali
Pakatan Harapan berkeyakinan untuk menawan semula kerajaan negeri Kedah yang ketika ini ditadbir oleh Pas dalam pilihan raya negeri akan datang, kata Dato’ Dr Ismail Salleh, Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah.
Pilihan raya negeri Kedah akan diadakan pada separuh pertama tahun ini.
Keyakinan Ismail berdasarkan tiga faktor. Dalam hujah pertama beliau menolak gelombang hijau yang digelar tsunami PN yang menyebabkan peningkatan kerusi parlimen dimenangi oleh Pas dan Bersatu sebagai satu faktor yang kekal.
“Faktor pertama adalah ‘tsunami PN’ dalam Pru 15 baru-baru ini bersifat sementara kerana gelombang itu wujud atas tiupan sentimen bangsa dan agama. Ramai telah menyedari hakikat permainan sentimen ini hanyalah untuk meraih laba politik dan tidak memberi apa-apa keuntungan dalam usaha pembinaan negara. Oleh sebab itu mereka sudah mula berubah,” kata Ismail yang juga adalah Adun Pengkalan Kundor.
Faktor kedua yang dinyatakan adalah kecemerlangan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat kerajaan pusat di dalam tempoh sebulan.
“Perdana Menteri bukan sahaja bercakap tetapi telah bertindak dengan menunjukkan contoh terbaik. Keazaman dan kesungguhan beliau untuk membawa negara ini berada di puncak terserlah disamping kekuatan aura peribadi PM 10.”
Faktor ketiga ialah kerjasama Barisan Nasional dengan PH yang membentuk kerajaan perpaduan. Kerjasama ini diteruskan di peringkat negeri.
Faktor ketiga adalah Pakatan Harapan akan membentuk kerjasama politik bersama Umno BN setelah mereka sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan. Perbincangan tentang kerjasama ini di semua peringkat sudah bermula.
Berdasarkan kerjasama PH dengan BN, gabungan ini sekarang menguasai 16 daripada sejumlah 36 kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah.
Â