Jurulatih tampar pemain: Siasatan perlu dijalankan – Pemimpin wanita PH

Insiden seorang yang dipercayai jurulatih pasukan bola tampar perempuan sebuah negeri mengasari dua pemain pasukan itu yang tular di media sosial mengundang kritikan pimpinan wanita Pakatan Harapan (PH).

Menteri Pendidikan Fadhina Sidek membidas tindakan tersebut.

Katanya Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan kejadian itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.

“Laporan penuh menyusul dan @KemPendidikan memohon saksi untuk tampil memberi keterangan,” kata Ketua Wanita KEADILAN itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata tindakan tersebut sebagai tidak layak dilakukan oleh seorang jurulatih peringkat negeri.

“Ini adalah salah. Telah bercakap dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan kami sama-sama sedang mendapat maklumat lanjut tentang kejadian ini,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Ahad.

Kelmarin tular satu rakaman video berdurasi 21 saat di mana jurulatih yang dipercayai dari pasukan Melaka dilihat menampar dua pemainnya sebelum memberi kata-kata kepada atlet pasukan pimpinannya.

Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 ‘Juara B14 2022’ di Johor pada 16 Disember lepas berikutan dua pemain menyebabkan pasukan kehilangan tersebut satu mata dalam perlawanan sebelum panggilan masa tamat.

Insiden sama juga mendapat perhatian Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman. Beliau berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku dalam industri pembangunan sukan di Malaysia.

“Kita tidak boleh membiarkan budaya begini menular di dalam bidang sukan.

“Kekerasan tidak menjamin prestasi cemerlang sebaliknya memberikan tekanan yang akhirnya memberikan kesan terhadap tahap mental atlet terbabit.

“Jika seorang jurulatih tidak boleh mengawal emosi dan menjadi profesional terhadap anak didik, beliau tidak layak untuk menjadi jurulatih,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

Untuk rekod, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) melalui laporan media semalam berkata, mereka memandang serius isu yang tular itu.