PM Anwar mahu jadikan warkah Saidina Ali prinsip panduan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadikan warkah agung yang diutus oleh Saidina Ali Ibn Abi Talib kepada Gabenor Mesir pada tahun 655 Masihi sebagai prinsip panduan.

Beliau berkata, belum terlambat untuk kesemua rakyat Malaysia menekuni warkah yang menekankan peri penting prinsip tatakelola dan tadbir urus yang baik dalam etika pemerintahan.

“InshaAllah, ia akan menjadi ‘guiding principles’ saya dalam mengemudi bahtera negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook sambil menyertakan sedutan amanat khasnya di Masjid Putra kelmarin.

Dalam program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 itu, Anwar turut berharap penekanan mengenai isi warkah oleh khalifah Islam keempat itu dapat diterbit dan disebarkan kepada semua penjawat awam, ahli politik serta di masjid dan surau.

Menurutnya, warkah yang antara lain menyentuh mengenai perbuatan amar maaruf sebagai harta yang paling berharga yang patut menjadi idaman itu mengandungi kebijaksaaan, hikmah, ketegasan dan kewarasan Saidina Ali dalam memberi nasihat dan petunjuk.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, warkah sempena pelantikan Malik Al-Ashtar sebagai Gabenor Mesir ketika itu termasuk gesaan hubungan masyarakat Islam sesama Islam dan bukan Islam.