PM disaran pertimbang pengeluaran KWSP, 20 peratus ditanggung kerajaan

Seorang aktivis menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbang tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0 secara bersasar.

Norman Radzuan berpendapat 20 peratus daripada jumlah pengeluaran itu akan ditanggung oleh kerajaan melalui skim pembayaran semula.

“Contoh pengeluaran sebanyak RM10,000 kepada mereka yang mempunyai simpanan melebihi RM30,000 di akaun satu, RM2,000 dari RM10,000 ditanggung oleh kerajaan melalui pembayaran semula untuk tempoh empat tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pelaksanaan pengeluaran secara bersasar itu jelasnya, menyaksikan kerajaan akan menyumbang RM500 ke dalam akaun pencarum.

“Ia lebih menarik, lebih ikhlas, lebih prihatin berbanding dengan Mahiaddin yang berjaya memperdayakan orang Melayu membantu dengan menggunakan duit poket rakyat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) yang mewakili 270,000 pencarum menuntut pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.

Menurut PGIRM, permohonan pencarum itu diterima melalui borang dalam talian dari Julai hingga November lalu, antaranya disebabkan desakan hidup yang sukar akibat inflasi, pengurangan pendapatan tidak seimbang dan tunggakan hutang pasca pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Norman berpendapat Najib Razak dan Mahiaddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri ‘bijak’ apabila memanfaatkan kehendak rakyat terutama pengundi Melayu yang mahukan ‘cash in hand’ atau wang segera.

“Najib kutip duit dari rakyat berpuluh bilion dari GST tapi dia ambil sebahagian dari wang tersebut diberikan kembali kepada rakyat.

Punya suka orang Melayu walaupun dia rugi beribu-ribu angkara GST dan dapat hanya ratusan (ringgit) sahaja tapi mereka panggil Najib ‘Bosku’.

“Begitulah juga Mahiaddin, dia berikan berkali-kali bantuan KWSP kepada rakyat.

“Lihat, akhirnya orang Melayu mengucapkan terima kasih kepada Mahiaddin dengan panggilan Abah yang prihatin nasib mereka dan ucapan terima kasih itu diterjemahkan di peti undi,” tambahnya lagi.

Â