Tiada peruntukan Parlimen: Shahidan jangan bersangka buruk

Peruntukan Parlimen bagi tahun 2023 masih belum diputuskan lagi berikutan Belanjawan 2023 hanya akan dibentangkan pada Februari ini di Dewan Rakyat.

Oleh itu ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak memberi peruntukan Parlimen kepada mereka.

Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, kenyataan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim sebelum ini bahawa ‘tiada peruntukan untuk pembangkang’ adalah terlalu awal dan bersangka buruk.

Menurut Hassan, peruntukan yang bakal diterima oleh ahli-ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan diputuskan oleh kerajaan apabila tiba masanya dan beliau tidak mendapat maklumat itu lagi.

“Jangan bersangka buruk pada kerajaan sekarang (Kerajaan Perpaduan) kerana (peruntukan) boleh berbincang.

“Saya berharap kepada kerajaan dan Perdana Menteri sekarang supaya semua 222 Ahli Parlimen diberi peruntukan sama rata tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang,” katanya kepada Harapan Daily.

Beliau berkata, dengan pemberian peruntukan secara adil maka hal itu merupakan satu langkah reformasi institusi Parlimen dan Kerajaan Perpaduan perlu menunjukkan contoh yang baik untuk menghormati demokrasi sebenar.

“Perdana Menteri mesti mengubah punca kuasa dalam hal ini, iaitu (dengan) menjadikan (satu keketapan) undang-undang, kerajaan mesti memberi peruntukan yang sama rata kepada semua ahli parlimen,” ujarnya lagi.

Sebelum ini menurut laporan Astro Awani, Shahidan mendakwa keputusan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang sebagai tidak adil.

Beliau mendakwa demikian dalam sidang media selepas pelancaran Pertubuhan Perpaduan Ummah di Pusat Khidmat Parlimen Arau, Kubang Gajah pada, 30 Disember lalu.

Baca juga KPDN perkenal sistem perlindungan bagi bekalan, harga berpatutan