‘Cadangan jemput parti Kerajaan Perpaduan ke PAU akan dibincangkan’
Cadangan menjemput parti – parti di dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 akan dibincangkan pada hari Khamis, umum setiausaha agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bilangan 1/2023.
“Saya ingin memaklumkan, kita ada mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 5 Januari ini. Kita akan buat keputusan.
“Pada malam ini juga, akan ada mesyuarat pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan). Kita juga akan membincangkan mengenai jemputan seumpama ini. Bagaimanapun, kita tunggu keputusan pada Khamis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media PAU 2022, di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terdiri daripada Pakatan Harapan, BN, Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak.
BN dan PH berada di blok bertentangan sebelum pilihanraya umum ke 15. PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Upko. Parti MUDA pula menandatangani perjanjian pakatan pilihan raya dengan PH.
Sebelum PRU-15, Umno melaksanakan dasar tidak kepada Anwar, tidak kepada DAP.
PAU 2022 akan berlangsung di WTC pada 11 hingga 14 Januari ini selepas perhimpunan yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember lalu, ditangguhkan kerana tarikh berkenaan bertembung dengan cuti persekolahan.
Ahmad menambah, jumlah perwakilan dan pemerhati PAU 2022 pada Jumaat dan Sabtu depan, dianggarkan akan dihadiri seramai 2,648 perwakilan dan 174 pemerhati yang merupakan ketua penerangan bahagian-bahagian.