Harap kerajaan sediakan sistem perparitan untuk kawal situasi banjir
EKSKLUSIF Susulan banjir yang melanda Pantai Timur baru-baru ini, seorang penduduk di Kampung Banggol Pauh, di Ketereh Kelantan mahukan sistem perparitan terutamanya di kampung yang terletak berhampiran sawah padi atau sungai.
Ketiadaan sistem perparitan untuk mengalirkan air keluar ke tempat lain menyebabkan ramai terkesan.
Tambahan pula, saban tahun dunia semakin terkesan akibat faktor perubahan iklim dan ini menyebabkan banjir semakin buruk.
Pegawai Tadbir di Majlis Daerah Bachok, Hasliwani Peli, 35, melihat banjir yang berlaku kali ini berada di luar jangkaan dan antara yang paling teruk pernah dihadapi keluarganya. Air hanya surut selepas seminggu.
Walaupun rumahnya tidak terkesan kerana berada pada kedudukan yang lebih tinggi, namun jalan keluar terhalang akibat air banjir.
“Proses untuk mencari makanan agak sukar kerana jalan tertutup tetapi saya bersyukur kerana badan bukan kerajaan (NGO) menghantar bantuan makanan untuk penduduk kampung yang terjejas.
“Bila banjir berlaku, saya tidak hanya risau mengenai air yang berkemungkinan untuk masuk ke rumah sahaja malah terpaksa berhati-hati dengan binatang berbisa di dalam air,” katanya ketika ditemui.
Sebagai persediaan, Hasliwani hanya meyimpan dokumen penting di tempat tinggi yang senang dicapai sekiranya air naik secara mendadak.
“Kalau boleh letak semua dokumen di satu tempat. Orang kampung yang sudah terbiasa dilanda banjir akan membeli bekalan makanan lebih awal sebagai persediaan.
Ketika ditanya mengenai banjir kali ini, Hasliwani menyatakan faktor taburan hujan juga antara penyebab banjir kali ini lebih teruk berbanding kebiasaan.
Dalam masa sama, dia mengharapkan ada sistem perparitan dalam usaha kerajaan mengurangkan risiko banjir.
“Disebabkan kawasan kampung saya berada berhadapan sawah padi, jadi banjir itu perkara biasa namun buat kawasan lain, mungkin boleh bina sistem perparitan atau kawalan pembangunan melibatkan kawasan yang mudah dinaiki air.
Dalam masa sama, Huda Sapiai, 41, juga mengharapkan agar sistem perparitan diselenggara atau bina longkang di kawasan yang selalu terjejas banjir.
Huda yang bertugas di Melaka sebagai guru bahasa Arab sering pulang ke Kampung Kuchelong, Bachok untuk menghabiskan cuti sekolah bulan Disember selalu terkesan akibat banjir yang melanda.
“Sebagai penduduk kampung yang sering dilanda banjir, perkara penting adalah untuk peka dengan keadaan sekeliling terutamanya paras air sama ada naik terlalu cepat atau tidak.
“Keduanya, adalah penting untuk dapatkan maklumat dan dengar arahan penguatkuasa, pindah jika diarahkan bukannya berdegil takut barang hilang,” katanya.
Buat Huda, proses membersih rumah mengambil masa terutamanya pada lantai yang terkena air banjir yang berselut itu.
Dia bersyukur tiada barang yang rosak. Kesukarannya cuma tidak dapat tidur malam dengan lena kerana terpaksa berjaga untuk mengawasi kenaikan air.
“Susah sikit nak tidur malam, siap ada sistem bergilir tidur lagi dengan keluarga sebab takut air naik tapi semua tengah dibuai mimpi,” tambahnya lagi.
Dia mewakili penduduk kampung