Harga minyak masak botol dikekalkan

Harga minyak masak botol dalam kuantiti satu hingga lima kilogram dikekalkan pada harga RM6.90 sekilogram, RM13.30 untuk dua kilogram dan RM30.90 untuk lima kilogram.

Harga ini ditetapkan untuk tempoh 8 Januari hingga 7 Februari meskipun harga purata minyak sawit mentah meningkat di pasaran dunia meningkat sejak bulan Disember.

“Penetapan harga ini adalah hasil kerjasama pihak industri minyak masak yang bersetuju untuk mengekalkan harga sebagai usaha bersama membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan media.

Salahuddin menyatakan bahawa kawalan harga ditetapkan pada harga harga tersebut di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022.

“Kawalan harga dilaksanakan ini mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia.

“Mana-mana pihak yang didapati menjual melebihi harga maksimum ditetapkan, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pihak yang mengingkari harga kawalan tersebut boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 jika disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan Salahuddin juga menyatakan bahawa kementeriannya mempertimbangkan cadangan mengawal harga daging khinzir menjelang Tahun Baru Cina yang akan diraikan pada 22 Januari.

Beliau membuat pengumuman tersebut di dalam laman Facebooknya selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.

Â