Jangan politikkan bantuan sekolah Cina, agama di Selangor

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah gagal membantu sekolah agama di negeri itu maka tidak wajar bantuan ke atas sekolah persendirian Cina dipertikaikan.

Menurut Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukan hampir RM100 juta untuk membantu Kelas Al-Quran Fardu Ain (Kafa) dan Kafa Integrasi yang disalurkan melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Dalam tempoh lima tahun ini, hampir setiap tahun kita berbelanja lebih RM90 juta untuk bantu Kafa dan Kafa Integrasi yang diuruskan Jais,” katanya menerusi rakaman video di Twitter.

Beliau berkata demikian bagi menjawab putar belit politik kononnya Kerajaan Negeri memberi banyak bantuan kepada sekolah persendirian Cina di negeri itu.

“Baru-baru ini terdapat beberapa muatan di laman media sosial yang mempertikai hasrat Kerajaan Negeri membantu sekolah-sekolah persendirian Cina di Selangor.

“Saya ingin jelaskan hal ini supaya tidak timbulkan isu perkauman, apatah lagi kekeliruan yang cuba ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Mengenai isu Kerajaan Negeri membenarkan 4 sekolah persendirian menengah jenis Cina beroperasi, Amirudin berkata berbanding hanya 4 sekolah Cina terdapat banyak sekolah menengah persendirian agama di negeri Selangor yang dibenarkan beroperasi secara bebas.

Beliau memberi contoh antaranya Sekolah Menengah Al-Amin yang mempunyai 12 rangkaian sekolah di Lembah Klang.

“Terdapat juga Sekolah Menengah Al-Huda milik Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahupun sekolah Setiabudi, Sekolah Menengah Al-Hira atau Sekolah Safinatun Najah yang diberikan kebebasan melaksana pendidikan mereka dengan pemantauan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya lagi.

Amiruiddin menambah, bagi tahun 2022 Kerajaan Negeri memperuntukkan RM26.5 juta lagi bagi menyokong sistem pendidikan di negeri itu menerusi program Bantuan Sekolah Negeri Selangor.

Hampir separuh dari jumlah itu pula telah diperuntukkan untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat berbanding sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil.