PM jauh ke depan, Salahuddin, Mat Sabu cemerlang di kementerian

EKSKLUSIF Meskipun belum mencecah 100 hari usia kerajaan perpaduan ditubuhkan, namun dedikasi ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengetuai barisan kepemimpinannya mendapat pujian masyarakat.

Menurut penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, perdana menteri ke-10 itu seorang yang ‘boleh buat kerja’.

“Saya beri kredit kepada Datuk Seri Anwar. Beliau bagus dalam tugas, tetapi saya lihat ada beberapa menteri perlu meningkatkan prestasi mereka dan mesti menyelesaikan masalah-masalah asas rakyat terlebih dahulu, antaranya kos hidup.

“Bagaimanapun, saya lihat ada beberapa menteri yang menunjukkan prestasi baik, misalnya Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke. Memang nampak beliau turun padang. Ini saya beri merit yang tinggi kepada beliau,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pentadbiran diketuai Anwar Ibrahim.

Beliau turut memuji inisiatif ‘Nano Retailers’ daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang bertujuan membantu masyarakat B40, khususnya golongan suri rumah dalam meningkatkan pendapatan dan ekonomi mereka.

“Beliau mempunyai rancangan-rancangan yang begitu banyak. Beberapa hari lepas beliau memperkenalkan program ‘Rezeki Suri’ (Nano Retailers).

“Bagi saya, ianya satu program yang cukup brilliant. Hanya menteri yang hebat yang boleh menghasilkan program hebat seperti ini. Tahniah saya ucapkan kepada beliau,” ujarnya lagi.

Tidak ketinggalan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu juga berada dalam radar penganalisis politik itu.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dilihat komited untuk menyelesaikan masalah telur ayam yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

“Sebenarnya sejak Januari 2022 lagi peniaga roti canai dah merungut isu telur ayam ini. Isu ayam dan juga telur ayam ini satu rantaian industri yang perlu ditangani dengan cermat kerana ia melibatkan banyak industri.

“Maka bukanlah kita mengharapkan menteri ini menjadi seperti ‘Superman’ iaitu untuk menyelesaikan masalah dalam masa dua hari.

“Mereka ini (menteri) juga orang biasa yang memerlukan perancangan teliti untuk menyelesaikan sesuatu isu,” katanya.