Kempen “Asal Bukan Zahid” oleh penentang kerajaan Anwar

Mantan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Adam menyatakan bahawa usaha kempen “Asal Bukan Zahid” didalangi oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan pimpinan presiden Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang memilih untuk menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka lebih suka bersama Bersatu berbanding dengan Pakatan Harapan,” kata Lokman kepada Harapan Daily ketika dihubungi.

“Mereka terdiri daripada penyokong mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, (mantan Menteri Kesihatan) Khairy Jamaluddin Abu Bakar, (mantan Menteri Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Shahidan Kassim, (mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia) Tan Sri Annuar Musa dan (Ahli Parlimen Sembrong merangkap bendahari Umno) Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan media yang mendakwa lebih 100 orang ketua bahagian Umno telah melancarkan kempen “Asal Bukan Zahid” secara senyap.

Lokman turut mengulas perkara ini dalam sesi secara langsung yang disiarkan melalui pelbagai pelantar media sosial. Dalam sesi tersebut beliau turut menyoal kebenaran di sebalik bilangan ketua bahagian yang didakwa menentang Ahmad Zahid.

“Kononnya ada 100 ketua bahagian. Kalau ada 100, tak perlu buat gerakan senyap-senyap. Boleh buat secara bising,” kata beliau.

“Kita tahu 50 hingga 60 dibayar oleh Hishamuddin. Ramai dah mula sedar (tentang perkara yang dilakukan oleh Hishamuddin).

“Zahid telah memberi peluang kepada Hishamuddin menjadi calon. Ramai yang kecewa kerana (Hishamuddin) pengaruhi 10 orang untuk menyokong Bersatu,” katanya merujuk kepada usaha perakuan bersumpah yang dilakukan oleh ahli parlimen Umno, MCA dan MIC untuk menyokong cubaan pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin menjadi perdana menteri.

Umno mempunyai 191 bahagian yang meliputi seluruh negara kecuali Sarawak.

Lokman turut menyalahkan bekas setiausaha Annuar, Tun Faisal Ismail Aziz berkaitan kempen ini.

“Tun Faisal, bekas setiausaha Annuar menaruh harapan untuk menumpaskan Ahmad Zahid supaya presiden baru yang menang akan membawa Annuar kembali ke dalam Umno.”

Annuar merupakan salah seorang daripada tiga pemimpin yang telah dipecat oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 9 Disember. Beliau kini mempengerusikan pertubuhan bukan kerajaan, Muafakat Nasional.