Kerajaan tidak akan diskriminasi mana-mana negara tapi akan laksana SOP ketat
Kerajaan Malaysia mengambil pendirian untuk tidak mendiskriminasi mana-mana negara dari memasuki ke negara ini termasuk pengembara dari China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Kabinet memutuskan tanpa ragu bahawa masalah kesihatan rakyat adalah hal paling utama dan ia tidak boleh diatasi dengan hal lain walaupun atas alasan pelancongan atau ekonomi.
Bagaimanapun mengulas kebimbangan orang ramai berkenaan penularan wabak Covid-19 di China, Anwar berkata ia perlu dilihat secara menyeluruh kerana Amerika Syarikat juga mencatatkan angka kematian yang tinggi
“Kita ambil pendirian untuk tak diskriminasi mana-mana negara. Kalau kita lihat kadar kejangkitan negara China, kita tahu kematian di Amerika Syarikat juga tinggi. Jadi kita ambil tindakan untuk selamatkan rakyat kita.
“Sesiapa sahaja masuk harus dipantau dan dikenakan syarat ketat yang sama,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan rakyat merupakan hal paling utama dan akan mengenakan Prosedur Operasi Standard (SOP)Â paling ketat kepada pelancong asing yang datang ke negara ini.
KKM sebelum ini menetapkan pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) manakala sampel air kumbahan pesawat dari China juga akan diambil.
Awal bulan lalu, China menamatkan dasar ‘sifar-Covid’ bagi membendung wabak berkenaan dengan pembukaan semula sempadan negara itu bermula Ahad ini.
Bagaimanapun, penamatan dasar itu turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya.
Pelancong China dijangka akan masuk ke Malaysia hujung minggu ini.
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menganggarkan seramai 1.2 juta pelancong China dijangka masuk ke Malaysia pada tahun ini.
“Jemaah Menteri memutuskan tanpa ragu bahawa masalah kesihatan rakyat itu adalah hal utama. Soal pelancongan atau ekonomi tak boleh mengatasi kepentingan mengawal dan menrawat rakyat dari wabak jangkitan, itu saya nak jelaskan,” kata Anwar.