Sibuk komen isu pakaian pramugari, Tuan Ibrahim dikecam

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat mendapat kecaman orang ramai selepas menyentuh isu pemakaian pramugari dalam hantaran di Twitter miliknya.

Namun, dalam banyak perkara yang boleh diulas, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberi komen mengenai pemakaian pramugari yang dipujinya lebih sopan dan menganggap ia satu permulaan yang baik.

Ciapan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu mengundang kritikan kerana ramai percaya banyak lagi isu besar yang sepatutnya diambil kira, bukan setakat isu pemakaian pramugari.

Untuk rekod, sejak awal tahun lalu sudah banyak aduan diutarakan oleh sebahagian besar pelanggan yang mendakwa beberapa syarikat penerbangan kos rendah dengan sengaja menunda perjalanan mereka tanpa notis.

Lebih parah, mereka mendakwa ada syarikat-syarikat penerbangan ini tidak menjaga kebajikan pelanggan seperti gagal menyediakan ruang istirehat sementara ekoran penangguhan perjalanan melebihi enam jam.

Pakaian crew MyAirLine

Seorang pengguna Twitter @JeddTe membalas hantaran tersebut dengan mempertikai mengapa pemakaian baju pramugari sahaja diulas dan tidak mengenai perkhidmatan syarikat kapal terbang tersebut.

“Saya akan lebih risau mengenai ketepatan masa, perkhidmatan, kemudahan dan yang paling penting harga sebelum pakaian pramugari,” tulisnya.

Komen balas itu turut disokong @SyamilLim yang menyentuh tentang kekerapan pembatalan penerbangan.

“Saya naik kapal terbang tak pandang pakaian pramugari tapi saya lebih pentingkan harga tiket penerbangan tersebut, keselesaan dalam kabin, perkhidmatan krew kabin dan juga kekerapan pembatalan penerbangan,” katanya dalam komen tersebut.

Pengguna Twitter lain, @drvijayganasan pula meluahkan rasa kecewa dengan ciapan pemimpin Pas itu walhal menurutnya banyak lagi masalah lain yang terkait dengan syarikat penerbangan dalam negara terutama masalah kelewatan masa perjalanan.

“Orang ramai mengalami masalah kelewatan, perkhidmatan tergendala jadi saya terkejut melihat komen anda mengenai pemakaian sahaja,” ujarnya.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengambil langkah tepat dengan mengarahkan sebuah syarikat penerbangan untuk meminta maaf kepada penumpang yang terkesan selepas penerbangan tergendala selama 8 jam tanpa notis.

 

Â