TMJ puji komitmen Hannah Yeoh beli kanvas baru untuk Stadium Bukit Jalil

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada semalam memaklumkan bahawa pihaknya telah membelikan kanvas baru bagi menutup permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Sebelum Ini Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim beberapa kali meminjamkan kanvas stadium JDT kepada Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menjaga kualiti padang sebelum perlawanan penting pasukan kebangsaan.

Menteri sukan ketika pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin ialah Datuk Reezal Merican dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 kemudian melantik Hannah Yeoh sebagai menteri sukan yang baru.

“@StadiumMalaysia telah membeli kanvas baru bagi menutup permukaan padang SNBJ semasa hujan dan @KBSMalaysia komited membawa penambahbaikan fasiliti.

“Menjunjung kasih kepada @HRHJohorII yang meminjamkan kanvas padang sebelum ini.

“Terima kasih sukarelawan Satria @JBS_Negara,” ciapnya di Twitter malam tadi.

Hantaran Twitter Hannah itu mendapat perhatian TMJ yang kemudian menyatakan kepercayaan terhadap komitmen yang dibawa Hannah Yeoh.

“Berdasarkan mesyuarat baru-baru ini, saya yakin dengan dedikasi dan komitmen anda, masa depan sukan akan lebih baik (termasuk) penganjuran acara dan kemudahan sukan.

“Lebih banyak berita baik akan datang untuk peminat sukan,” kata Tunku Ismail di Twitter.

Baca juga: Tuduhan komunis kepada PH tidak berbukti

Baca juga: ‘Beliau bukan gemuk dan botak yang boleh dihina’, pemain kelab bola tampar pertahan jurulatih