Farhash: 7-Eleven bukan GLC

Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan pembabitannya dalam syarikat 7-Eleven Malaysia Holdings adalah berkaitan dengan pembabitan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan, GLC.

“Itu bukan GLC tetapi ‘private enterprise’ (syarikat swasta).

“Saya memang dari dahulu lagi sudah ‘set up company’ (perniagaan) dan ini bukan benda baru,” katanya ringkas ketika dihubungi Harapan Daily.

Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Haji Khlir Mohd Nor menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan isu berkenaan pelantikan Farhash sebagai pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad selaras dengan peletakan jawatan pengerusinya yang terdahulu, Robin Tan Yeong Ching.

Khlir mendakwa pelantikan tersebut bertentangan dengan prinsip tatakelola yang baik dan integriti.

“Pelantikan Farhash adalah bukti bahawa agenda reformasi yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi.

“Kami menyeru Anwar untuk tidak terus membisu dalam isu jawatan-jawatan baru Farhash ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia adalah konsisten kepada konsep reformasi dan tata kelola yang baik,” kata Khlir dalam satu kenyataan media.

Selain 7 Eleven, Farhash juga menjadi pengarah syarikat dan/ atau pemegang saham majoriti di sepuluh syarikat swasta. Antaranya ialah Swag Technologies Sdn Bhd, Salvador & Sons Sdn Bhd, Pacific Samudera Sdn Bhd dan Berjaya Construction Bhd.

Beliau turut merupakan pengerusi eksekutif kumpulan Apex Equity Holdings Bhd.

Selain itu beliau turut menganggotai lembaga penasihat Yayasan Usahawan Malaysia.

Masyarakat umum juga turut sama menyoal berkenaan pelantikan Farhash sebagai pengerusi 7-Eleven menerusi laman media sosial.