Memorandum jemaah menteri, langkah penyelesaian masalah kewarganegaraan

Menteri Undang – undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Mohd Said akan mengemukakan memorandum jemaah menteri kepada Kabinet untuk meminda Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu kewarganegaraan, ciap beliau di dalam Twitter.

Memorandum tersebut akan dikemukakan bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Memorandum ke arah pindaan ini penting kerana ia dijangka akan menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang dihadapi oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga luar negara. Mereka juga melahirkan anak di luar negara.

Pada ketika ini anak kepada lelaki Malaysia yang menikahi wanita warga luar boleh didaftar sebagai warganegara. Anak ini dilahirkan di luar negara juga. Kemudahan ini bagaimana pun tidak diberikan kepada wanita Malaysia.

Ramai wanita yang terkesan dari peruntukan perlembagaan tersebut telah membentuk sebuah kumpulan sokongan yang bernama Persatuan Kebajikan dan Sokongan Keluarga Kuala Lumpur dan Selangor yang lebih dikenali sebagai Family Frontiers. Kumpulan ini turut dianggotai oleh anak-anak pasangan yang terkesan.

Sebelum menjadi menteri di bawah kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azalina telah pun menyatakan sokongan beliau kepada Family Frontiers yang berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan sama rata untuk wanita Malaysia.

Family Frontiers turut memfailkan kes mahkamah untuk mendapatkan keadilan sewajarnya. Tiga minggu lalu, Mahkamah Rayuan telah membenarkan Family Frontiers untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menidakkan hak warganegara automatik kepada anak yang dilahirkan oleh wanita warga tempatan dan suami warga asing di luar negara.

Kes itu telah difailkan oleh enam orang ibu warga Malaysia dan Family Frontiers.