PN perlu jadi pembangkang berkesan, bukan sibuk ‘Tebuk Atap’

Perikatan Nasional (PN) seharusnya menjadi pembangkang yang berkesan bagi melakukan semak dan imbang ke atas Kerajaan Perpaduan, bukannya merancang satu lagi siri pertukaran pemerintah.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata demikian menjawab kenyataan Ketua Pembangkang parlimen Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berkata ‘PN terbuka kepada sebarang perubahan’.

Katanya, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya bertindak merancang menumbangkan kerajaan sedia ada pada ketika ini, sebaliknya fokus kepada usaha mencari penyelesaian terhadap isu yang yang membelenggu kehidupan seharian rakyat

“Tumpukan menjadi pembangkang yang berkesan. Rakyat bergelut untuk keluar dari pandemik, inflasi dan banyak masalah lain ketika mana PN masih mahu merebut kuasa melalui pintu belakang,” ciapnya di Twitter.

Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menambah, kenyataan Hamzah itu membuktikan bahawa PN masih tidak boleh menerima hakikat berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Hamzah Zainudin masih tidak dapat terima hakikat penubuhan Kerajaan Perpaduan. Sebaliknya beliau nak teruskan usaha menebuk atap untuk menjatuhkan kerajaan sebagaimana Langkah Sheraton dahulu,” katanya.

Hamzah sebelum ini dalam siri perbincangan anjuran Kelab Concorde semalam ketika ditanya mengenai kemungkinan PN boleh kembali berkuasa menerusi kerjasama baharu, beliau menjawab: “Pintu sentiasa terbuka.”

Dalam pada itu, veteran DAP, Lim Kit Siang berkata kenyataan Hamzah Zainudin itu perlu dijadikan amaran agar Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhati-hati dan tidak sepatutnya bertoleransi terhadap politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman dan keagamaan yang berasaskan fitnah serta mampu merosakkan kerajaan serta masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau juga mahu Anwar Ibrahim buktikan bahawa kenyataan Hamzah Zainudin perlu dibuktikan salah apabila mengatakan PN mampu merampas Selangor dan mempunyai peluang sama banyak di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kit Siang melihat ucapan Hamzah di Kelab Concorde pada semalam adalah satu pengakuan bahawa Pas di bawah Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus bersembunyi di sebalik PN.

BACA JUGA Sudah ada perbincangan kerjasama PH-BN hadapi PRN di Terengganu