Tubuhkan jabatan kanak-kanak, Raja Zarith senada dengan kerajaan

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah senada dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkenaan keperluan jabatan khas untuk kanak-kanak yang akan berfungsi menangani masalah – masalah berkaitan kanak-kanak seperti penderaan, buli di sekolah dan masalah lain berkaitan.

Baginda membangkitkan keperluan Akta Kanak-kanak diperkukuhkan dengan peruntukan perundangan supaya tindakan lebih proaktif dan agresif boleh diambil.

Baginda pada sama bertitah bahawa Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) kini terbeban dengan aduan keluarga yang memerlukan bantuan.

“Salah satu perkara utama lagi yang mesti diberi perhatian adalah peranan JKM yang perlu dikemaskini untuk perkhidmatan yang lebih berkesan,” kata baginda dalam satu hantaran di halaman Facebook, The Royal Johor.

“JKM pada masa kini amat terbeban dengan aduan keluarga yang memerlukan bantuan, termasuk ketika bencana seperti banjir atau kebakaran rumah.

“Mungkin sebuah jabatan kerajaan khas boleh ditubuhkan khusus untuk menangani isu kanak-kanak termasuk penderaan, buli di sekolah dan lain-lain.”

Sebelum ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata Kabinet bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan sebuah jabatan atau institusi khas untuk kanak-kanak bagi menjaga kebajikan serta kepentingan golongan itu.

Cadangan itu dikemukakan beliau ketika mesyuarat Kabinet yang berlangsung baru-baru ini dan telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri, KPWKM kini sedang meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Baginda juga tidak menolak kemungkinan terdapat kelemahan dalam sistem sehingga kanak-kanak berusia empat tahun yang hanya dikenali sebagai Lokman maut didera di Batu Pahat, Johor.

“Di manakah kelemahan di dalam sistem kita sehingga penderaan yang begitu dahsyat seperti kes Allahyarham boleh berlaku?

“Mungkin ada pelbagai faktor, namun di sinilah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak berkuasa bagi memperbaiki situasi ini.

“Mungkin ramai dalam kalangan rakyat yang tidak menyedari saluran yang sepatutnya mereka gunakan dalam kes-kes melibatkan kanak-kanak,” titahnya.

Selain itu, baginda juga mempersoal sama ada terdapat isu defisit kepercayaan ke atas keberkesanan laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa dan jika tindakan susulan mereka berkesan atau tidak dalam memastikan persekitaran yang sebaiknya bagi melindungi mangsa.

Baginda bertitah demikian menerusi suatu pertemuan bersama beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Istana Polo, Pasir Pelangi semalam.

Menerusi pertemuan berkenaan baginda berkenan menerima mengadap Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu dan Pengarah JKM Johor, Mohamad Hapil.

Turut berangkat sama bagi menyampaikan pandangan, isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.