Wawasan ekonomi Malaysia Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyatakan bahawa wawasan ekonomi pada pandangannya perlulah terdiri dari ekonomi yang dipacu oleh sektor swasta. Kerajaan pula hanya perlu menjadi pengadil agar semua pihak mendapat pulangan secara adil.

Malaysia bagaimanapun belum sampai ke tahap tersebut.

“Kerajaan buat dasar dan bina ekosistem. Kalau dah jadi 20 negara dagangan tertinggi dunia dan dengan saling berkait, sebahagian besar kandungan dasar akan datang dari swasta. Kerajaan akan jadi ‘referee’ untuk pastikan semua dapat secara adil. Secara ideal, kerajaan tak perlu rancang untuk lima tahun,” katanya ketika sesi soal jawab dengan kakitangan kementeriannya.

Beliau berkata demikian di Majlis Amanat Menteri Ekonomi bersama warga Kementerian Ekonomi yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman media sosial, Facebook pagi ini.

Beliau menambah bahawa rancangan ekonomi lima tahun yang dibuat sekarang diperlukan kerana tahap ekonomi Malaysia belum sampai ke tahap tersebut

Rafizi turut menyatakan berkenaan manfaat penglibatan sektor swasta.

“Beban tanggung pelaburan akan jadi lebih ringan kepada kerajaan. Kerajaan boleh beraspirasi untuk ekonomi mampan dengan sendirinya. Ia hanya perlu ada ‘regulation’ supaya ia adil kepada semua.

Rafizi turut berkata dalam keadaan itu kerajaan boleh menggunakan dasar fiskal dan kewangan untuk memastikan inovasi dibangunkan seperti sepatutnya.

“Saya berharap sektor ada keupayaan jauh lebih tinggi dari kerajaan tapi kita belum di sana lagi.”

Secara idealnya beliau berkata bahawa kebergantungan penyelarasan ekonomi kepada kerajaan akan berkurangan.

Sebelum itu beliau turut menyatakan bahawa beliau mahu menggunakan peruntukan kementerian untuk melabur dalam pembangunan modal insan kakitangan kementeriannya berbanding dengan membayar pakar perunding untuk membuat kerja berkaitan dengan kementeriannya.