Bantuan RM360,000 untuk penternak terkesan banjir

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menyampaikan bantuan tunai sebanyak RM360,000 kepada 72 penternak dari lima jajahan di sekitar Kelantan, hari ini.

Majlis penyerahan bantuan di Nilam Puri itu melibatkan penerima dari Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir Putih.

Penerima yang bergiat dalam penternakan lembu menerima bantuan RM170,000 manakala penternakan kambing dan biri-biri beroleh RM190,000.

“Saya difahamkan sebelum ini peruntukan juga telah diberikan untuk tanaman sayur dan ternakan unggas yang masing-masing berjumlah RM95,000 dan RM58,000.

“Bagi kategori lain seperti ternakan arnab dan cendawan pula ia melibatkan bantuan sebanyak RM20,000 dan ternakan akuakultur ternakan ikan air tawar pula RM16,500,” kata Mohamad Sabu dalam hantaran di Facebook.

Presiden Amanah itu berharap bantuan tersebut dapat menjadi titik mula untuk kumpulan B40 di Kelantan bagi membina kehidupan yang lebih baik melalui bidang pertanian. Ini kerana para penternak turut terjejas ekoran daripada banjir yang melanda Negeri Cik Siti Wan Kembang baru-baru ini.

Kerajaan persekutuan turut membantu rakyat Kelantan dengan bantuan lain untuk penerusan hidup mereka.

“InsyaAllah saya dan warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan berusaha lebih gigih untuk menjadikan pertanian sebagai pilihan utama rakyat yang boleh menjamin masa depan serta menyumbang ke arah misi mencukupkan dan memastikan keterjaminan makanan negara,” ujarnya.

Bantuan wang sebanyak RM360,000 ini adalah berasingan. Sebelum ini kerajaan persekutuan sudahpun memperuntukkan RM2.45 juta menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk disampaikan kepada komuniti agro makanan.

MAFS melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah memberikan peruntukan berjumlah RM1 juta berupa bantuan makanan dan ubat-ubatan untuk haiwan ternakan.