Dilema MCA, MIC dalam PRN Pulau Pinang

Pulau Pinang merupakan salah sebuah negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan menjelang tiba tahun ini.

Kekalahan nama besar seperti Nurul Izzah Anwar (PKR) di Parlimen Permatang Pauh semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menggusarkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri tersebut.

Ia turut disuarakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang turut sama bertanding dan menang di Batu Kawan dalam PRU15.

Ia berpunca daripada “gelombang hijau” – kata kunci yang diberikan Pas ekoran dari kejayaan Perikatan Nasional (PN) memenangi beberapa kerusi di negeri pulau tersebut.

Dalam artikel ini, kita fokuskan kepada dilema MCA dan MIC dalam PRN negeri Pulau Mutiara yang terdiri daripada 40 kerusi DUN.

Sebelum PRU15, MCA telah pun menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi yang pernah ditandingi oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Dalam PRU14, MCA telah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Puyu, Bagan Jermal, Berapit, Machang Bubuk, Padang Lalang, Air Putih, Pengkalan Kota, Komtar, Seri Delima dan Paya Terubong.

Keseluruhan kerusi DUN tandingan MCA ialah 10 daripada keseluruhan 40 kerusi. Namun, satu kerusi pun tidak dimenangi parti tersebut.

MIC pula bertanding di dua DUN iaitu Bagan Dalam dan Perai. Walau bagaimanapun kedua- dua parti komponen itu gagal mendapatkan satu kerusi di Pulau Pinang.

Dalam konteks pasca PRU15 di mana kerjasama BN dan PH akan diteruskan di peringkat negeri, apa pula nasib dua parti komponen di atas?

Dalam suatu pakatan, biasanya kerusi yang dimenangi tidak akan ditandingi oleh parti kawan. Kerusi yang ditandingi MCA dan MIC dimenangi oleh parti komponen PH iaitu DAP.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Majlis Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat persediaan pilihan raya negeri Pulau Pinang sebelum Tahun Baru Cina. Perkara ini diumumkan oleh pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng pada 2 Januari.

Sementara itu, dalam blok PN pula, Gerakan mempunyai lebih banyak kerusi untuk ditandingi dalam PRN ini.

Semasa PRU14, Gerakan bertanding di 13 DUN iaitu Pantai Jerejak, Batu Uban, Air Itam, Batu Lancang, Sungai Pinang, Datok Keramat, Padang Kota, Pulau Tikus, Kebun Bunga, Tanjong Bunga, Jawi, Bukit Tambun dan Bukit Tengah.

Presiden Gerakan Dominic Lau yang juga Timbalan Presiden PN dan Pengerusi PN Pulau Pinang turut mengumumkan bahawa persoalan pengagihan kerusi akan dibincangkan sebelum Tahun Baru Cina.

Tahun Baru Cina akan disambut oleh masyarakat Cina pada 22 Januari 2023.