KKM perkenal ‘Label Ubat Mesra OKU Penglihatan’ bertulisan Braille
Seramai 55,000 Orang Kurang Upaya (OKU) bakal menerima manfaat menerusi pelaksanaan inisiatif ‘Label Ubat Mesra OKU Penglihatan’.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata label ubat yang diberikan kepada pesakit OKU Penglihatan akan mempunyai tulisan Braille bagi menjelaskan cara pengambilan atau dos ubat.
“Misalnya, dua biji ubat, tiga kali sehari. Selain itu, label ini turut mempunyai indikasi ubat yang menerangkan kegunaan ubat misalnya demam, batuk atau selesema.
“Inisiatif Label Ubat Mesra OKU Penglihatan akan dilaksanakan di 250 fasiliti kesihatan KKM terpilih di seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau lagi, inisiatif berkenaan mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan pihak kerajaan dalam memastikan OKU Penglihatan mendapat hak untuk menerima maklumat tepat dalam urusan
pengambilan ubat secara selamat.
Susulan pelaksanaan inisiatif itu katanya, Malaysia adalah antara negara yang terawal di rantau Asia yang melaksanakan inisiatif Label Ubat Mesra OKU Penglihatan.
Inisiatif itu juga merupakan peluasan kepada Program Kenali Ubat Anda bagi menyokong Malaysian Patient Safety Goals 2.0 di bawah Medication Safety: Medication Without Harm.
Baca juga Hadi terus pertikai Agong, kutuk profesor dan perli warga emas