Konvensyen NUNJI 2023 esok jadi medan lawan ‘Gelombang Takfiri’

Menjelang NUNJI 2023 Konvensyen Akademi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2023 yang akan membuka tirai pada esok akan dijadikan platform untuk membalas serangan ‘Gelombang Takfiri’ yang banyak dimainkan oleh pihak lawan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika dihubungi hari ini berkata, untuk mengelakkan perbincangan esok bersandarkan kepada emosi semata-mata, pusat penyelidikan Ilham Centre akan menjadi pembentang pertama yang akan mengemukakan dapatan mereka tentang kempen takfiri ketika PRU15.

Katanya, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar akan membentangkan kajian dan dapatannya berkenaan kempen kebencian dan agama yang digunakan parti-parti politik dalam pilihan raya lalu.

“Ya (Nunji akan ketengahkan isu) gelombang takfiri dan kempen kebenciannya. Untuk pengetahuan supaya kita tidak terlalu emosi, pembentang yang pertama sekali ialah daripada Ilham Centre.

“Hisomuddin akan bentang kajian dan dapatan beliau semasa kempen PRU15 berkenaan apa dia unsur-unsur yang dikatakan takfiri, dan kebencian agama yang dipakai oleh PN.

“Dari situ bermakna hujahan kita nanti bukanlah secara emosi tapi kita melihat kepada angka-angka yang telah dibuat kajian oleh Ilham Centre. Mereka ada data kempen-kempen yang menggunakan isu perkauman,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Dari situ kata Mujahid, semua pihak boleh melihat bahawa kempen PN sebenarnya tidak bersandarkan kepada fakta, tetapi lebih kepada sentimen yang menaikkan kemarahan pengundi.

Sebelum ini Presiden AMANAH Mohamad Sabu menyatakan kebimbangan dengan penularan fahaman takfiri iaitu mengkafir dan menyesatkan kumpulan yang tidak sealiran pemikiran dengan pihak tertentu.

Beliau berkata, negara luar seperti Syria, Iraq dan Somalia berlaku konflik yang berpanjangan ekoran penularan fahaman berkenaan.

Perikatan Nasional (PN) dalam kempen ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 banyak memainkan sentimen kaum dan agama

Sebahagian isi ceramah mereka juga mengaitkan Pakatan Harapan dengan kumpulan Yahudi dan Kristianisasi.

Walaupun PN menafikan menggunakan sentimen perkauman dalam kempen mereka, namun mereka dilihat sebagai punca pengundi dimomokkan dengan kejadian 13 Mei 1969 jika parti Melayu tidak menjadi tonggak dalam kerajaan.

Konvensyen NUNJI 2023 akan mengangkat tema “Kerangka Perpaduan Berteraskan Rahmatan Lil ‘Alamin” dan bakal menampilkan beberapa tokoh ilmuan Islam yang akan mengupas idea-idea baharu melalui pembentangan berkaitan tema ini.

Mujahid akan membuka tirai konvensyen dengan ucaptama, disusuli ucapan perasmian oleh Penasihat Umum AMANAH Datuk Seri Ahmad Awang dan penutup konvensyen akan menampilkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Konvensyen NUNJI juga akan menampilkan tiga pembentang antaranya Hisomuddin Bakar; Pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman; dan Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Selain itu, Presiden Emir Research,  Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar akan menjadi ahli panel.