Langkah London? Buat Langkah Kajang saja

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sinis menyatakan bahawa usaha yang dikenali sebagai Langkah London sepatutnya diusahakan di dalam negara.

“Langkah London jauh sangat. Patut murah lagi dibuat di Langkah Kajang,” katanya sambil senyum sinis seusai solat Jumaat di Masjid Bukit Aman.

Langkah London merujuk kepada usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar. Usaha itu dipercayai akan digerakkan dengan memastikan kekalahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno. Ahmad Zahid ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di dalam kabinet pimpinan Zahid.

Ia dikatakan melibatkan bendahari Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan 3 naib presiden Umno. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telahpun menafikan penglibatannya dengan menyatakan beliau membuat Langkah Dubai bersama keluarga.

Langkah London ini juga dipercayai didalangi oleh pihak pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik di dalam pakatan parti pembangkang.

Langkah Kajang pula merujuk kepada usaha menggantikan Menteri Besar Selangor, allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2014. Rancangan tersebut dibuat oleh pengarah strategi ketika itu, Rafizi Ramli. Mengikut perancangan itu, Adun Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan dan memaksa pilihan raya kecil dilangsungkan.

Anwar memulakan kempen beliau dan lawannya ketika itu adalah naib presiden MCA, Chew Mei Fun. Mahkamah walau bagaimanapun memutuskan bahawa Anwar bersalah dalam kes yang dihadapinya. Ini menyebabkan presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Anwar sebagai calon.

Wan Azizah menang dalam PRK itu.

Â