Mahu tukar kerajaan: Sanusi derhaka titah Agong?

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Sabu menyelar sikap pemimpin Pas pada masa ini yang hanya memikirkan cara untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai bekas ahli Pas saya rasa sangat terkejut. Begitu sekali sikap pemimpin Pas sekarang.

“Tidakkah beliau sedar, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini dibentuk hasil titah nasihat Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Adakah Sanusi setuju penderhakaan dibuat terhadap titah dan nasihat Tuanku ini?

“Ketika kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim bertungkus lumus berusaha untuk menstabilkan negara demi kepentingan rakyat dan negara, masih ada lagi pemimpin yang cuba mengulangi Langkah Sheraton yang telah dibuat awal tahun 2020 lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata demikian mengulas pengakuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa terdapatnya usaha-usaha sedang dibuat untuk menukar Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Petikan ucapan pemimpin Pas berkenaan sempena majlis amanat kepada penjawat awam Kedah itu kemudiannya tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, pentingnya kestabilan politik untuk memulihkan ekonomi negara diberi penekanan tambahan pula, Malaysia bakal berhadapan dengan tahun kemelesetan ekonomi yang dijangka oleh pakar-pakar ekonomi dunia.

Dalam masa sama, Ketua Wanita Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) tersebut mempersoal sama ada Sanusi lupa keadaan negara yang tidak stabil sepanjang tiga tahun lalu ekoran Langkah Sheraton hinggakan Malaysia mempunyai tiga perdana menteri sepanjang tempoh itu.

Sehubungan itu, beliau berharap Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, untuk melupakan politik gila kuasa.

Sebaliknya, tegas beliau, Sanusi perlu memberi tumpuan untuk membangunkan negeri dan membebaskan rakyat daripada masalah ekonomi.

“Sebagai bekas ahli Pas, saya merayu kepada Sanusi, lupakanlah kemaruk politik gila kuasa itu buat sementara.

“Berilah tumpuan untuk membangunkan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir oleh Pas itu.

“Bantulah orang-orang Melayu dan beragama Islam yang sememangnya majoriti dan ramai di ketiga-tiga negeri itu, agar benar-benar dapat keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya akan memberikan sokongan sepenuhnya seperti terbukti diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berhadapan bencana banjir besar di Kelantan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Sepang yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berharap Sanusi sanggup menunggu lima tahun lagi untuk berlawan secara adil dan bukan dengan cara tebuk atap.

Dalam sedutan rakaman video yang tular itu, Sanusi antara lain berkata, terdapat cara yang diizinkan undang-undang dan Perlembagaan tanpa perlu melibatkan undi untuk menukar kerajaan.