‘Gelombang Hijau’ tak wujud, ada ‘Gelombang Takfiri’ – Mujahid
EKSKLUSIF Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kemenangan Perikatan Nasional (PN) terutama Pas yang hampir menyapu bersih kerusi-kerusi di Pantai Timur pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu bukan disebabkan kebangkitan ‘Gelombang Hijau’.
Sebaliknya kemenangan itu diperoleh dari kempen sentimen perkauman, agama dan kebencian yang dimainkan untuk menarik sokongan pengundi.
“Ya, tak ada gelombang hijau tetapi yang ada ialah gelombang takfiri dan kebencian kaum,” kata Naib Presiden AMANAH itu ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Konvensyen Akademi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2023 yang akan membuka tirai pada esok akan dijadikan platform untuk membalas serangan ‘Gelombang Takfiri’ yang banyak dimainkan oleh pihak lawan ketika kempen.
Takfiri ialah perbuatan mengisytiharkan seseorang atau sekumpulan orang sebagai bukan lagi pengikut ajaran agama mereka. Amalan takfiri wujud dalam kumpulan agama Samawi.
Mujahid ketika dihubungi hari ini berkata, untuk mengelakkan perbincangan esok bersandarkan kepada emosi semata-mata, pusat penyelidikan Ilham Centre akan menjadi pembentang pertama yang akan mengemukakan dapatan mereka tentang kempen takfiri ketika PRU15.
Pada PRU15 yang lalu, PN didapati menggunakan ‘peluru’ kaum dan agama sebagai kempen mereka menarik sokongan pengundi.
Sebahagian isi ceramah mereka mengaitkan Pakatan Harapan dengan kumpulan Yahudi dan Kristianisasi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 15 September tahun lalu mengeluarkan kenyataan mendakwa sebahagian besar pemimpin PH tidak beriman (berakidah) dan bermoral (berakhlak).
Beliau juga mendakwa, PH bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara, dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan.
Walaupun PN menafikan menggunakan sentimen takfiri dalam kempen mereka, namun mereka dilihat sebagai punca yang mengumpan pengundi dengan momokkan kejadian 13 Mei 1969 jika parti Melayu tidak menjadi tonggak dalam kerajaan.
Tindakan PN terutama Pas itu mendapat kritikan bukan sahaja dari pemimpin politik dan orang awam, bahkan turut dikritik oleh penganalisis-penganalisis politik.
Â