Orang tengah agih projek kerajaan ditahan reman

Seorang dalang yang menjadi orang tengah untuk pengagihan projek kerajaan di bawah Projek Rangsangan Ekonomi 2020-2022 telah direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh seorang ketua pegawai ekskutif, 42, ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada hari Khamis.

Dia telah dihadapkan ke mahkamah majistret Putrajaya dan direman selama empat hari.

Laporan media memetik sumber sebagai berkata bahawa sekurang-kurangnya lima orang dipercayai menjadi dalang kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.

“Hampir 90% projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi,” sumber dipetik berkata.

“Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10% projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10% hingga 20%,” tambah sumber.

SPRM telah memulakan siasatan pada 9 Disember berkaitan RM92.5 bilion ekoran daripada dakwaan salah guna peruntukan yang sepatutnya digunakan sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Jumlah RM92.5 bilion ialah sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM530 billion yang diluluskan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional untuk pengurusan Covid-19. RM92.5 bilion juga adalah dana kerajaan manakala bakinya dana swasta.

Para kontraktor yang disoalsiasat telah menyatakan sejumlah tiga hingga lima peratus dibayar sebagai komisen yang dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik.

Siasatan dijalankan mengikut seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 yang menjadikan perbuatan menerima rasuah bagi pihak orang lain dan diri sebagai satu kesalahan.