Perpaduan umat dalam konteks Islam dan Malaysia

OLEH YASIR TAMIZI

Perpaduan umat. Ini adalah mesej utama khutbah pada hari ini di negeri Selangor.

Perpaduan umat yang dimaksudkan dari mimbar khatib diumpamakan seperti perpaduan umat tatkala umat Madinah disatukan Rasulullah.

Dengan pemasyhuran Piagam Madinah, perpaduan umat yang dianjurkan Nabi Muhammad itu menyatukan masyarakat dari pelbagai latar belakang samada kaum, puak dan agama.

Ianya adalah perpaduan umat yang menyatukan orang Islam dan bukan Islam, orang Arab, Afrika, Parsi, Rom dan Yahudi, orang asal Madinah dan pendatang Mekah, yang berkulit hitam dan putih, yang bermacam bani dan puak keluarga.

Dan perpaduan masyarakat berbilang asal keturunan ini, disatukan dalam satu kata ummah.

Allahyarham Dr. Siddiq Fadzil dalam pidatonya, “Agama Sebagai Medium Memupuk Integriti dan Perpaduan Nasional” pada tahun 2018 mengatakan bahawa:

“Piagam tersebut (Madinah) memakai kata ummah dalam kedua-dua pengertian di atas dengan menyebut kaum Muslimin adalah satu ummah, dan kaum Yahudi juga satu ummah.

Kata ummah dalam konteks ini bererti ummah diniyyah (umat keagamaan) dengan implikasi bahawa kedua-dua kaum Muslimin dan Yahudi kekal dengan agama dan jati diri masing-masing.

Tetapi kedua-duanya bergabung membentuk satu ummah dalam pengertian ummah siyasiyyah (umat politik) dalam satu negara, Madinah.”

Namun apakah tunggak perpaduan umat ini? Adakah perpaduan umat yang dibentuk atas niat untuk melaksanakan kezaliman? Adakah perpaduan umat ini untuk menjahilkan dan memecah-belahkan masyarakat dengan fitnah, adu-domba dan takfiri?

Atau adakah perpaduan umat ini bertujuan untuk menekan orang miskin yang terpinggir serta mengkayakan lagi golongan kaya, lalu bersama kegiatan merasuah dan menyeleweng?

Sudah tentu tidak.

Perpaduan umat ini wajib ianya ditegakkan dengan tunggaknya iaitu melaksanakan keadilan dan berbuat keihsanan. Ini seiring dengan perintah Tuhan bahawa:

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” Surah An-Nahl, Ayat 90

Yakni akhirnya tujuan penciptaan manusia ini adalah untuk mengabdi diri kepada Tuhan Yang Maha Esa(illa liya’ budun).

Inilah ciri masyarakat Madinah, yang cirinya diimpi-impikan untuk dilaksanakan agar tercapai sebuah negara yang aman, sejahtera dan bahagia. Moga-moga berhasil ikhtiyār pentadbiran negara kita melalui kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, dalam membangun negara yang berilhamkan masyarakat di Madinah; negara madani.

Penutupnya, penulis teringat kata-kata pujangga yang dialunkan oleh seniman muda Pakistan, Atif Aslam, dalam bahasa Urdu dalam karyanya Tajdar-e-haram yang berbunyi, “Aao Madine chalen..” yang memberi maksud, “Ayuh kita ke Madinah.”

*YASIR TAMIZI ialah pembaca Harapan Daily.

Baca juga Hadi terus pertikai Agong, kutuk profesor dan warga emas