‘Anwar boleh jauh lebih baik daripada Mahiaddin, Ismail Sabri’

Sokongan kepada Kerajaan Perpaduan diyakini akan meningkat lebih tinggi jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan masa-masa penting dalam tempoh enam bulan ini untuk menonjolkan pencapaian beliau.

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Mohamed Hatta Ramli berkata, biarpun sokongan anak muda terhadap Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak memberangsangkan, namun data itu boleh berubah dari masa ke semasa.

Dalam satu kajian dijalankan Ilham Centre ketika kempen PRU15 lalu, Anwar didapati tidak begitu menonjol dalam kalangan anak muda terutama pelajar kampus walau pada awalnya kecenderungan mereka terlihat lebih kepada gabungan itu.

Dalam kajian secara perbincangan kumpulan, Ilham Centre mendapati 9 daripada 10 anak muda lebih mengenali sosok Abah yang merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Dapatan ini dikongsikan dalam Konvensyen Nadwah Ulamak lil Nadhah Jadidah (NUNJI) 2023 hari ini.

Mengulas hal itu, Hatta yakin sokongan kepada kerajaan akan berubah seiring dengan masa hanya jika Anwar mampu membuktikan kebolehannya berbanding Mahiaddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dari segi dapatan, dia berubah-ubah, tidak akan kekal begitu. Contohnya, kalau dia tak terkenal sebelum kempen, tidak semestinya dia tak terkenal lepas dari kempen, (kajian ini) dinamik, tak kekal.

“(Dapatan) itu sama sekali kita tak boleh jadikan ukuran atau alasan untuk kita buat rumusan bahawa orang ini tidak popular. Perkara ini berubah-ubah,” katanya dalam sidang media selepas perasmian NUNJI 2023 hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Lumut itu juga memberi contoh prestasi PH ketika mentadbir kerajaan Persekutuan untuk tempoh 22 bulan.

Pada peringkat awal katanya, PH hanya memperoleh sekitar 25 peratus sokongan pengundi Melayu, tetapi dalam masa setengah tahun, sokongan itu meningkat.

“Bagi generasi kita ini, Anwar adalah Menteri Kewangan terbaik yang kita ada. Dalam tempoh beliau jadi Menteri Kewangan, kita ada bajet surprlus.

That is very rare for our country tapi anak muda tak lalui fasa itu. Anwar ada kemampuan. Kita tengok dalam masa enam bulan ini.

“Kalau Anwar boleh tonjolkan lebih baik dan jauh dari apa yang dicapai Mahiaddin atau Ismail Sabri, saya rasa statistik boleh berubah,” katanya lagi sambil menambah kerja keras perlu diusahakan supaya anak muda lebih dekat dengan sosok Perdana Menteri itu.

Baca juga Mujahid cadang gubal Akta Perpaduan Nasional, jenayahkan individu cetus ketegangan agama