Fitnah diwiridkan bagi meruntuh Kerajaan Perpaduan

NUNJI 2023 Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ahmad Awang berkata, naratif kebencian agama dan perkauman dibimbangi mewujudkan prejudis serta ketakutan antara kaum di Malaysia walaupun sudah hidup dengan harmoni selama ini.

Bertemakan ‘Kerangka Perpaduan Berteraskan Rahmatan Lil ‘Alamin’, Konvensyen Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI 2023) berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz (SUK), Shah Alam, Selangor hari ini.

Ahmad Awang dalam ucapan perasmiannya menekankan tentang kempen tidak bertanggungjawab daripada pihak lawan boleh menyebabkan perpecahan antara rakyat Malaysia.

“Di atas kebimbangan atas perpecahan bagi kempen yang tidak bertanggungjawab, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri meminta agar hentikan provokasi politik yang memainkan sentimen perkauman.

“Justeru, Kerajaan Perpaduan perlu memainkan peranan dengan menguatkuasakan undang-undnag untuk menolak anasir jahat daripada pihak lawan,” katanya pagi ini.

Justeru, beliau berharap badan bukan kerajaan (NGO) boleh menjernihakan keadaan dengan menyebar kefahaman agama kepada orang ramai berdasarkan rujukan tertinggi iaitu al-Quran dan Sunah.

Perhimpunan para ilmuan dan ahli akademik kali ini membincangkan situasi negara iaitu mengenai perpaduan yang selama ini menjadi lambang perjuangan parti AMANAH dan Pakatan Harapan (PH).

NUNJI adalah inisiatif AMANAH yang menjadi pentas untuk golongan cendekiawan memperhalusi isu kenegaraan berpaksikan Gagasan Lil Al-Amin (RLA) dalam proses membentuk Malaysia menjadi negara Rahmah.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan terbentuk daripada gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) yang masing-masing memenangi 82 dan 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Pada masa sama, Ahmad Awang melihat kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Pantai Timur dan utara tanah air cenderung dipacu motif perkauman sempit.

“Walaupun cadangan baginda telah terlaksana dengan gabungan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan), kemenangan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, negeri yang mempunyai teras Melayu paling ramai adalah disebabkan sentimen perkauman dan agama yang melampau.

“Mereka ini diancam dengan ayat jika PH menang maka kaum Cina akan memerintah. Lebih dahsyat anak kecil disogok dengan ketakutan palsu seperti kanak-kanak perempuan tidak boleh pakai tudung dan perlu menggunakan skirt pendek di sekolah, manakala pelajar lelaki perlu mengenakan seluar pendek,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa umat Islam tidak harus khuatir dengan kewujudan kaum lain yang tinggal bersama di negara ini.

“Antara tanda kekuasan-Nya adalah penciptaan langit bumi, perbezaan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya dalam golongan itu ada yang berilmu.

“Kita dapat faham bahawa kejadian manusia yang berbeza daripada segi bahasa, warna kulit serta budaya adalah kehendak Allah,” tambahnya.

Bekas Pesuruhjaya Pas Perak itu mengingatkan bahawa agama Islam akan sentiasa dipelihara Allah dan tiada yang boleh mengubah sehingga kiamat.

Seperti termaktub dalam Perkara 3, Agama bagi Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Walaupun sudah memasuki bulan kedua pemerintahan Kerajaan Perpaduan, fitnah dikemundangkan dan diwiridkan pihak lain bagi meruntuhkan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas hasrat Agong.

“Kerajaan Perpaduan adalah yang terbaik dan direstui Agong untuk bawa negara keluar dari kemelut politik dan masalah ekonomi yang dihadapi kebelakangan ini,” jelasnya.

Dalam masa sama, Ahmad Awang yang juga pernah menjadi anggota panel syariah beberapa institusi kewangan turut berharap agar masyarakat tidak terkepung dalam politik semasa.