Mujahid cadang gubal Akta Perpaduan Nasional, jenayahkan individu cetus ketegangan agama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai Kerajaan Perpaduan dicabar untuk melaksanakan Akta Perpaduan Nasional supaya dapat menjenayahkan individu yang sengaja menimbulkan ketegangan kaum dalam negara.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, akta hasutan sudah tidak lagi mencukupi untuk membendung sentimen permusuhan yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu.

Beliau hari ini menegaskan bahawa dengan adanya penggubalan akta itu, ia mampu menjaga perpaduan negara seiring dengan nama Kerajaan Perpaduan.

“Saya dah pernah cakap tentang perkara ini 10 tahun lepas dan akan bangkitkan isu ini sampai berjaya.

“Saya cabar Kerajaan Perpaduan menggubal akta baharu atas nama Akta Perpaduan Nasional yang menjenayahkan orang-orang yang sengaja mencetuskan permusuhan agama.

“Akta hasutan tak cukup, dah lapuk. Tak boleh (begitu). Kalau kerajaan namakan dirinya Kerajaan Perpaduan, maka saya cabar buat akta ini.

“Dengan ini barulah kita kata kita nak jaga perpaduan,” katanya dalam ucaptama Konvensyen Akademi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2023 pagi ini.

Mujahid yang juga Pengerusi NUNJI itu meminta agar kerajaan mengambil tindakan tegas kepada individu-individu yang sengaja menyebarkan elemen dan sentimen meruntuhkan kesepaduan rakyat.

“Kena ada tindakan tegas terhadap pihak yang meruntuhkan perpaduan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah perkauman dan timbulkan ketagangan kaum

“Jangan hanya runding-runding, lepas itu bila fitnah, kita runding lagi. Tak boleh,” tegas bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi.

Turut hadir, Penasihat Umum AMANAH Datuk Seri Ahmad Awang dan Naib Presiden AMANAH, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Selain itu, NUNJI turut melibatkan tiga pembentang iaitu Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar; tokoh agama, Dr Zaharuddin Abd Rahman dan penganalisis politik Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.