Penangkapan dalang dijangka dedah modus operandi kes RM600 bilion
Penangkapan seorang pemimpin muda Bersatu yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dijangka bakal mendedahkan modus operandi bagaimana RM92.5 bilion wang kerajaan dibelanjakan.
Ini kerana beliau yang merupakan seorang timbalan ketua bahagian Bersatu di Kuala Lumpur adalah dipercayai orang tengah dalam projek runding terus kerajaan ketika Covid-19.
“Beliau dipercayai mengenakan tiga hingga lima peratus komisyen ke atas setiap projek yang diberikan untuk syarikat-syarikat pelaksana projek kerajaan itu untuk parti berkenaan,” kata satu sumber kepada Harapan Daily.
Tiga hingga lima peratus dari RM92.5 bilion yang kerajaan belanjakan adalah satu jumlah yang besar.
“Jika kita ambil tiga peratus sahaja dari RM92.5 bilion, jumlahnya adalah RM2.775 bilion. Belum kira lima peratus lagi,” kata seorang netizen yang membuat kiraan mengenai jumlah yang diperolehi oleh parti politik berkenaan.
“Patutlah belanja besar dalam PRU lepas,” kata beliau lagi merujuk kepada perbelanjaan mewah sebuah parti politik dalam pilihan raya umum ke 15 lalu.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menjadikan perbelanjaan RM600 bilion yang dibuat kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai modal kempen mereka bagi menunjukkan betapa prihatin mereka kepada rakyat.
Namun setelah disiasat SPRM mendapati hanya RM92.5 bilion sahaja duit kerajaan yang dibelanjakan manakala selebihnya adalah perbelanjaan dari pihak lain termasuk orang ramai sendiri yang mengeluarkan wang dari KWSP.
Ekoran itu, SPRM memberikan fokus siasatan mereka kepada bagaimana wang RM92.5 bilion itu dibelanjakan.
Kelmarin SPRM telah menahan seorang dalang yang menjadi orang tengah untuk pengagihan projek kerajaan di bawah Projek Rangsangan Ekonomi 2020-2022.
Tangkapan itu dibuat selepas SPRM menyiasat para kontraktor yang mendapat tender secara runding terus itu.
Para kontraktor yang disoalsiasat telah menyatakan sejumlah tiga hingga lima peratus dibayar sebagai komisen yang dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik.
Siasatan dijalankan mengikut seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 yang menjadikan perbuatan menerima rasuah bagi pihak orang lain dan diri sebagai satu kesalahan.
BACA JUGA Orang tengah agih projek kerajaan ditahan reman