Tiada akta khas penyebab kempen ekstremis berleluasa

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata ketiadaan akta untuk membendung individu menggunakan sentimen agama dan perkauman menyebabkan kempen ekstremis sangat berleluasa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Akta Perpaduan Nasional seperti yang disebut Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa perlu untuk membendung individu atau parti daripada menggunakan sentimen agama dan perkauman semasa berkempen dalam PRU.

“Antara isu yang dimainkan kali ini adalah DAP komunis. Isu ini sudah dimainkan sejak PRU14 tapi tidak merebak sekuat PRU tahun lalu.

“Pada penghujung kempen, Perikatan Nasional (PN) mula mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan agenda Yahudi,” katanya di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas tentang “PRU-15: Analisa Sentimen Kempen Berpaksikan Perkauman Dan Agama – Kesan dan Implikasi Politik Terutama Kepada Pengundi Muda’ dalam Konvensyen Nadwah Ulamak lil Nadhah Jadidah (NUNJI 2023).

Hisommudin menyifatkan bahawa taktik itu digunakan untuk mengalih undi orang Melayu yang sebelum ini menyebelahi Barisan Nasional (BN) tetapi beralih kepada PN.

Disebabkan pertembungan banyak penjuru pada PRU15, ujarnya, BN yang sebelum ini yakin menang PRU ke-15 terpaksa menerima hakikat kekalahan mereka.

“Apabila BN sudah kalah, orang Melayu termasuk anak muda beralih kepada PN.

“Kiblat politik orang Melayu sekarang sudah beralih daripada BN kepada PN,” tambahnya lagi.

Dalam satu kajian yang dijalankan Ilham Centre, anak muda menyatakan kecenderungan untuk memilih ‘Abah’ yang merujuk kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Pemilihan itu disebabkan sosok ‘Abah’ paling kerap muncul di televisyen dan memberi bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Justeru, buat golongan undi 18, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ada dalam garis pemikiran mereka.

Baca juga Mujahid cadang gubal Akta Perpaduan Nasional, jenayahkan individu cetus ketegangan agama

Â